Monday, November 22, 2010

Nurul Izzah naib presiden PKR paling kanan

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar menjadi naib presiden PKR paling kanan kini apabila beliau memenangi undi terbanyak dalam pemilihan PKR yang berakhir semalam.

Beliau mendapat undi tertinggi iaitu 13,170 mendahului naib presiden sekarang Tian Chua yang mendapat 11,460, pengarah pilihan raya Fuziah Salleh (8,891) dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dr Mansur Othman (8,477) yang turut terpilih.

Sebagaimana dijangka, Azmin Ali memenangi jawatan timbalan presiden apabila mendapat 19,212 mengalahkan pencabarnya, Mustaffa Kamil Ayub yang cuma mendapat 4,567 undi.

Keputusan itu berdasarkan 214 daripada 222 cabang PKR yang berjaya mengadakan pemilihan untuk memilih pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Berbanding keputusan minggu sudah, exco Selangor berjaya memintas ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan di tempat kelima.

Hanya empat kerusi sahaja diperuntukkan untuk pemilihan naib presiden. Bagaimanapun, PKR berhak melantik dua lagi ke jawatan itu.


Berikut jumlah Undi yang diterima mereka:

Nurul Izzah - 13,170
Tian Chua - 11,460
Fuziah Salleh - 8,891
Dr Mansor Othman - 8,477
Dr Xavier Jayakumar - 6,984
Gobalakrishnan - 6,721

Sebanyak 17 calon bertanding merebut jawatan itu.

Keputusan rasmi akan diumumkan dalam kongres PKR di Petaling Jaya minggu depan. Keputusan ini bermakna, kecuali Tian Chua, semua naib presiden yang terpilih merupakan muka baru.

Buat pertama kali juga, terdapat penyertaan wanita mengisi kerusi nombor tiga itu, bahkan bukan satu, tetapi dua wakil.

Bagaimanapun, tiada kaum India terpilih mengisi jawatan itu walaupun mereka dikatakan mewakili 35 peratus daripada keseluruhan anggota PKR.

Satu-satunya penyandang yang mempertahankan jawatan itu R Sivarasa yang juga anggota parlimen Subang tewas kali ini. Bagaimanapun, masih terdapat dua kuota lantikan untuk kerusi itu.

Bagi pemilihan sayap Pemuda dan Wanita, difahahamkan dua penyandangnya Shamsul Iskandar Md Akin dan Zuraida Kamaruddin berjaya mempertahankan masing-masing.

No comments:

Post a Comment