Tuesday, November 3, 2009

Sepetang Bersama Lim Soo Nee.

( YB Lim Soo Nee sedang membaca Warta Kedah Darul Aman keluaran terbaru )

Oleh : MOHD ZUHAIRI KHAMIS

ALOR SETAR : Pada 1hb Oktober yang lalu Warta Kedah Darul Aman telah berpeluang menemubual Exco yang baru dilantik iaitu Yang Berhormat Encik Lim Soo Nee. Kami ingin mengetahui perancangan program dan aktiviti yang bakal beliau laksanakan berdasarkan portfolio yang di beri kepada beliau iaitu Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia dan Perpaduan.

Bagi portfolio Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, beliau merancang untuk melawat Kilang Gula Padang Terap. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengenal pasti punca sebenar isu kekurangan gula di Malaysia, Masalah kekurangan gula semakin menjadi-jadi terutamanya pada musim Perayaan. Beliau sendiri akan turun padang untuk mendapatkan maklumat dan mencari alternatif yang sesuai bagi menyelesaikan isu yang sering membelenggu surirumah dan peniaga-peniaga makanan dan minuman.

YB Lim Soo Nee juga memberitahu Warta Kedah Darul Aman yang beliau sendiri akan turun padang ke Pasaraya Besar (Hypermarket) dari masa kesemasa seperti Tesco, Kedai-kedai runcit, dan Pasar bagi memantau harga barangan semasa terutamanya barangan kawalan seperti gula,minyak, beras, tepung dan sebagainya. Beliau memberi peringatan kepada peniaga-peniaga supaya tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya, jika tertangkap mereka akan menerima hukuman.

( Penulis dan Encik Razaini Md Isa sedang menemubual YB Lim Soo Nee di Pejabatnya )

Bagi portfolio Pembangunan Masyarakat serta Sumber Tenaga Manusia, beliau bercadang untuk membuat lawatan kerja ke Pejabat Pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang. Beliau juga bercadang untuk bertemu Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S Subramaniam untuk mendapatkan maklumat terkini tentang jumlah sebenar pengganguran dan jawatan-jawatan kosong yang sedang dan bakal di tawarkan terutamanya di negeri Kedah.

Selepas bertemu Menteri Sumber Manusia tersebut, beliau akan turun sendiri ke Pejabat Buruh Negeri bagi mendapatkan maklumat terkini jumlah angka pengangguran yang terdapat disetiap daerah-daerah di Kedah dan senarai jawatan kosong yang ada bagi membantu rakyat terutamanya kaum belia yang tiada pekerjaan dan pekerja-pekerja yang diberhentikan atas sebab krisis ekonomi.

Menurut beliau lagi golongan inilah yang seharusnya diberi perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan negeri kerana merekalah yang banyak menyokong dengan mengundi calon-calon dari Pakatan Rakyat bagi membela nasib mereka. Kerajaan terdahulu katanya terlepas pandang nasib golongan belia yang tiada pekerjaan.

“Dasar negeri kebajikan kita ialah adalah membantu golongan seperti ini. Sebenarnya banyak pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak berkaitan melalui Pejabat Buruh, tetapi malangnya maklumat tentang jawatan kosong tidak sampai ke telinga mereka terutamanya di daerah pendalaman seperti Baling, Sik, Bandar Baharu yang tinggi peratus pengangguranya”. Bagi mengatasi masalah tersebut beliau memberi cadangan agar di adakan Ekspo Kerjaya di setiap daerah dengan kerjasama Pejabat Buruh dan Syarikat-syarikat yang menawarkan pekerjaan. Dengan cara ini maklumat terkini tentang jawatan kosong yang ditawarkan akan terus sampai ke akar umbi.

Menyentuh dengan portfolio Perpaduan setelah mendengar pandangan orang ramai, beliau sedang merangka satu program riadah seperti “Sukan Rakyat” yang akan melibatkan seluruh kaum seperti melayu, cina, india dan siam di negeri ini. Melalui sukanlah seluruh masyarakat pelbagai kaum akan berpadu tenaga dan bekerjasama antara satu sama lain bagi memenangi sesuatu acara sukan yang dipertandingkan.

YB Encik Lim Soo Nee dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang baru bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Ahli Undangan Negeri Kawasan Lunas YB Mohd Radzhi Salleh.

Majlis angkat Sumpah dan menandatangani surat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah berlangsung pada 13 September yang lalu di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.

No comments:

Post a Comment