Tuesday, December 21, 2010

Video Ucapan dari Pimpinan sempena Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2

Dato’ Seri Anwar Ibrahim







Karpal Singh :





DATUK SERI HADI AWANG




YAB LIM GUAN ENG



Friday, December 10, 2010

Protes naik harga, tiga siswa ditahan



Tiga pemimpin siswa ditahan selepas mereka menyertai perhimpunan di luar Masjid Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula minggu lalu.

Mereka yang ditahan itu ialah setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman, pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Shukri Abdul Razak, serta pelajar Universiti Malaya, Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli.

Ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada 100 pelajar yang berhimpun di situ.

Kumpulan pelajar yang memakai baju berwarna hitam itu turut menjerikkan slogan-slogan seperti "Kuasa Mahasiswa" ketika berkumpul di hadapan masjid di Putrajaya itu.

Bagaimanapun, kira-kira lima anggota polis menemui mereka dan meminta mereka bersurai.

Seorang anggota polis memberitahu mereka tidak boleh berkumpul di situ atau mereka akan ditangkap.

Setelah berunding seketika, anggota polis membenarkan lima wakil pelajar tersebut menuju ke JPM yang terletak berhampiran masjid tersebut, untuk menyerahkan memorandum mereka.

Dalam memorandum berkenaan, kumpulan mahasiswa itu menyuarakan rasa kesal dan kecewa terhadap kenaikan harga barangan baru-baru ini.

Diarahkan bersurai

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

Selepas menyerahkan memorandum tersebut pada kira-kira jam 2.15 petang, polis mengarahkan mahasiswa berkenaan bersurai.

Ketika itu, Ridzuan kelihatan bercakap dengan anggota polis di situ, difaham dia meminta kebenaran untuk berucap, tetapi dia ditahan dan dibawa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ridzuan dan Shukri ditahan di ibupejabat polis (IPD) Putrajaya. Mohd Shahruldeen pula ditangkap di hadapan IPD Putrajaya.

Dalam memorandum empat muka surat itu juga, mereka mendesak agar gaji menteri dikaji semula dan dikurangkan bagi mengurang kos pengurusan dan perkhidmatan awam.

Mereka juga menuntut agar kerajaan mengembalikan semula subsidi barangan yang telah dipotong serta menurunkan harga barangan asas (kawalan) bagi kemudahan rakyat.Memorandum tersebut diserahkan oleh presiden Gamis Ahmad Syazwan Hassan kepada wakil dari Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Moin Omar di pintu masuk JPM.

Ahmad Syazwan turut diiringi oleh pengerusi dan setiausaha SMM Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Ridzuan menyerahkan memorandum tersebut.

Ahmad Syazwan turut diiringi oleh pengerusi dan setiausaha SMM Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Ridzuan menyerahkan memorandum tersebut.

Jaminan polis

Sewaktu menerima memorandum tersebut, Abdul Moin memberitahu mereka bahawa beliau akan memajukan memorandum tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

Pada jam 6.15 petang tadi, peguam ketiga-tiga mahasiswa yang ditangkap itu, Puspawati Rosman memberitahu Malaysiakini, semua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis setelah disoal-siasat hampir empat jam.

“Mereka diminta melaporkan diri semula ke IPD Putrajaya pada 23 Disember ini,” katanya.

Puspawati berkata setakat ini belum ada dakwaan khusus dikenakan ke atas ketiga-tiga anak guamannya.

Selain Puspawati, ketiga-tiga mahasiswa itu juga diwakili oleh seorang lagi peguam mereka, Haijan Omar.

Wednesday, December 8, 2010

Chegubard Terus Istiqamah dalam Perjuangan Keadilan !!

Kenyataan Media Untuk Hebahan Segera

Saya memohon maaf kepada banyak pihak termasuk media kerana telah mengelak untuk memberikan kenyataan atau sebarang komen pasca pemilihan KEADILAN 2010.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua teman-teman yang memberikan sokongan yang amat memberansangkan kepada saya dan barisan calon - calon yang bersetuju dengan dokumen Manifestasi Anak Muda - Penerus Perjuangan Reformasi.

Kita telah berjaya menggariskan dengan jelas 3 cabaran terbesar, 3 saran gerak kerja dan 5 pelaksanaan praktikal. Manifestasi Anak Muda Malaysia ialah manifesto yang jelas dan praktikal bagi mereformasi AMK dan seterusnya mampu menyerlahkan politik baru dan reformasi yang dilaungkan.

Penghargaan yang tidak terhingga kepada semua teman dari Perlis sampai ke Sabah yang bertungkus lumus menjadi jentera kempen dan pemantau proses pengundian. Kita berjaya melakukan sesuatu yang membanggakan dalam penuh tekanan 'pengaruh' dan kewangan.

Kita telah berjaya membuktikan tanpa politik naungan dan kewangan yang melimpah kita mampu menang jika semua dijalankan secara telus.

Saya telah menghantar bantahan bertulis. Bantahan yang telah menyenaraikan perbagai kepincangan ini tidak mendapat respon bertulis setakat ini.

Saya dengan ini menyatakan akur apa yang berlaku tetapi sama sekali tidak mengiktiraf keputusan pemilihan KEADILAN 2010. Saya masih juga menantikan penjelasan bertulis dalam perkara yang saya bangkitkan.

Saya tidak kecewa kerana saya tewas, kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia.

Yang dibangkitkan ialah soal ketelusan bukan siapa kalah atau menang. Kita sering mempersoalkan ketelusan SPR namun apabila kita berdepan dengan cabaran yang sama kita gagal melaksanakan ketelusan tersebut.

Melaksanakan agenda 1 anggota 1 undi adalah satu penciptaan sejarah yang berani. Amat memahami ini proses baru dan banyak kelemahan, tetapi tidak sama sekali berkompromi apabila alasan baru itu sebagai alasan untuk melakukan ketidak telusan dan 'menyapu dibawah pemaidani'.

Pertikaian muncul dari proses penamaan pemilihan cabang, pencalonan jawatan pusat dalam mesyuarat cabang, proses pengundian pusat sehinggalah pemilihan Pengerusi Tetap dengan cara angkat tangan. Semua yang hadir termasuk pemerhati dan media menyaksikan bagaimana undi angkat tangan memilih pengerusi tetap dalam Kongres AMK Pusat pun kiraannya ditipu.

Sehubungan dengan itu saya juga menolak semua jawatan lantikan yang bakal ditawarkan selagi tidak mendapat penjelasan bertulis mengenai apa yang saya bangkitkan dalam bantahan. Ini bukan soal jawatan tapi soal ketelusan. Jika saya menerima lantikan dalam keadaan aduan saya juga gagal diperjelas secara bertulis ini akan membawa erti saya berkompromi dengan sesuatu yang saya pertikaikan sendiri.

Jawatan bukan alasan untuk bekerja. Saya tegaskan tanpa jawatan peringkat pusat saya akan terus setia dalam memperkasakan parti. Saya masih yakin KEADILAN merupakan parti terbaik dalam melaksanakan reformasi dalam negara. Namun KEADILAN juga seharusnya sedia dalam menjamin demokrasi yang telus dalam parti.

che'GuBard
bekas MPP KEADILAN 2007 - 2010
calon Ketua AMK, Pemilihan KEADILAN 2010.

Tuesday, December 7, 2010

Anwar: Gimik Umno Dakwa Khir Toyo



GEORGETOWN 7 DIS: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan mendakwa Datuk Seri Dr Khir Toyo hanya sebahagian daripada sandiwara Umno untuk membersihkan imejnya di mata rakyat menjelang pilihanraya umum akan datang.

Begitu juga dengan beberapa kelonggaran yang diberikan oleh Umno-Barisan Nasional(BN) bersabit pendidikan Cina dan kemudahan untuk kaum India.

Anwar berkata Umno-BN sekadar mengulangi taktik lama untuk membuaikan pengundi dengan pelbagai imbuhan dan tindakan, namun asas-asas parti itu yang berpaksi kepada perkauman, rasuah dan penyelewengan kuasa tidak berubah.

Semalam bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah bersabit pembinaan istana ala Bali di seksyen 7 Shah Alam.

Pendakwaan itu dicanang oleh Umno sebagai bukti parti itu serius dalam memerangi rasuah.

Namun ramai pemerhati mengingatkan bahawa pemimpin-pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi pernah menggunakan taktik mengheret tokoh tertentu ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan kemudian dilepaskan.

Anwar berkata pendakwaan Khir Toyo tidak boleh memadamkan hakikat ramai lagi tokoh terlepas dari sebarang tindakan pendakwaan walaupun wujud bukti-bukti jelas terhadap mereka.

"Yang kita tak boleh bagi itu pismil kerana nak buai mereka menjelang pilihanraya atau rasuah, ada tuduhan puluh-puluh yang serius itu diketepikan, diambil satu kes seperti yang berlaku kepada Eric Chia sebelum pilihanraya yang lalu," katanya.

Anwar juga ditanya oleh pemberita mengenai pengunduran Datuk Seri Samy Vellu dari MIC, dan pengiktirafan kerajaan terhadap sebuah peperiksaan Cina.

Beliau berkata perkara yang jelas ialah langkah-langkah itu diatur sebagai gula-gula politik untuk mendapatkan semula sokongan pengundi India dan Cina.

"Ini semua gimik pilihanraya, sedikit bagi orang Cina, sedikit bagi orang India, tindakan rasuah. Ini gimik pilihanraya, piliharaya tentu dekat. Apa beda Pakatan Rakyat, ini bagi kita dasar kita, kalau masalah mengangkat kedudukan orang Melayu, atau memberikan ruang kepada orang Cina dalam segi pendidikan untuk India, Iban, Kadazan, itu dasar kita," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar: Umno Lihat Jawatan TPM Dari Sudut Rasis



GEORGETOWN 7 DIS : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membidas Umno dan media kawalannya yang bersikap rasis bersabit pengisian jawatan Timbalan Perdana Menteri(TPM) jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Anwar menegaskan jawatan TPM tidak harus dilihat dari sudut perkauman dan pemimpin-pemimpin berkaliber seperti Lim Kit Siang mempunyai hak sama dengan warganegara lain untuk mengisi jawatan-jawatan kanan dalam kerajaan.

"Ini akan menjadi keputusan pimpinan Pakatan. Yang saya tidak bersetuju ialah bagaimana isu ini dilaporkan oleh media yang dikuasai Umno, yang memberi gambaran seolah-olah saya pro-Cina," kata Anwar.

"Saya ingin bertanya: Mengapa kita menafikan sebarang warga negara yang mempunyai kemampuan dan keupayaan, termasuk Lim, hanya kerana dia seorang Cina?

"Saya tidak boleh menerimanya. Juga, siapa kata kita mengetepikan PAS? Ada perjanjian antara kita. Mungkin (timbalan perdana menteri) boleh datang dari PAS atau Sabah dan Sarawak. Ia bergantung kepada keadaan," kata Anwar. "Mereka (Umno) adalah hipokrit... Mereka bercakap mengenai 1Malaysia, dan kemudiannya mengecam sebarang kemungkinan seorang Cina dinaikkan kepada sebuah jawatan yang lebih tinggi," kata Anwar.

"Mana letaknya konsep 1Malaysia. Mereka bercakap pasal 1Malaysia tetapi menggunakan konsep ketuanan Melayu, maknanya, jika kita letakkan seorang Cina sebagai TPM, tak kira TPM Satu, Dua atau Tiga, ia pula dijadikan penghinaan kepada konsep ketuanan Melayu," tambah Anwar.

Anwar berkata media kawalan Umno begitu taksub mengkritik Pakatan Rakyat dengan memutarbelitkan isu-isu perkauman wal hal ia sepatutnya memerinchi dasar-dasar yang diperjuangkan oleh gagasan pembangkang itu.

"Berapa lamakah harus kita terus mengamalkan politik perkauman sebeginin. Kenapa ada usaha halus untuk meniupkan api kebencian terhadap Lim. Kenapa beliau harus digambarkan sebagai pelampau Cina dan justeru orang Melayu mesti menolak beliau," kata Anwar.

"Adakah dia mendesak supaya Perlembagaan atau pun kedudukan Islam ditukar. Tidak. Tetapi Umno dan Perdana Menteri Najib Razak kata ya (untuk menbakar sentimen perkauman orang Melayu)," tambah Anwar. Anwar menegaskan bahawa Umno meremehkan kematangan rakyat jika mengharapkan kemenangan pada pilihanraya umum akan datang dengan menjual slogan ketuanan Melayu kepada kaum Melayu dan konsep 1Malaysia kepada bukan Melayu.

"Jika mereka meneruskan pendekatan ini, saya rasa mereka amat ketinggalan. Rakyat adalah jauh lebih matang sekarang, contohnya di Pulau Pinang. Saya percaya bukan sahaja Cina tetapi Melayu sudah jauh lebih matang," tambah beliau.

Siti Aishah : Sekat Laman Sosial Facebook Cuba Tutup Pemikiran Rakyat

SHAH ALAM 7 DIS : Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Siti Aishah Shaikh Ismail membidas sikap pimpinan Umno yang mencadangkan agar laman sosial facebook disekat yang disifatkan cuba menutup pemikiran rakyat daripada menerima sebarang maklumat dan mengeluarkan pendapat.

"Umno berpolitik secara tidak matang apabila mereka takut dan menerima tekanan dipihak mereka,mereka cuba untuk menutup suara rakyat,cuba menutup sesuatu info kepada rakyat dengan cara tidak menghormati hak rakyat dan kita percaya Umno ini bersikap terlalu takut untuk berhadapan dengan kenyataan dan info yang dikeluarkan oleh rakyat secara seluruhnya," jelas Aishah ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Semalam Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mencadangkan agar laman sosial facebook disekat kononnya boleh menggugat keselamatan negara.

Beliau berkata saranan agar sekatan dikenakan itu ekoran terdapat pengguna yang mengambil kesempatan atas kecanggihan teknologi untuk menghina agama Islam dan pemimpin negara.

Aishah juga menegaskan cadangan menyekat laman sosial facebook itu hanya menyerlahkan Umno cuba menutup suara rakyat.Penggunaan laman sosial facebook di Malaysia dianggarkan mencecah lapan juta pengguna.

"saya rasa Umno tidak harus mengkhususkan laman facebook itu untuk ancaman kepada keselamatan negara,kerana saya lebih memandang mereka lebih gusar dan takut bahawa laman tersebut dijadikan sebagai satu yang lebih menggugat kredibiliti Umno dan Barisan Nasional,saya rasa laman facebook bukan laman politik yang menyeluruh dan kita faham penggunanya daripada pelbagai peringkat dan sebagai sebuah kerajaan mereka perlu menghormati hak-hak individu yang terkandung di dalam negara kita," katanya.

Aishah juga membidas sikap dan mentaliti pemimpin Umno yang tidak menghormati hak rakyat dan ia bukti bahawa Umno tidak layak memimpin sebuah kerajaan.

"Jika beginilah standart pemimpin Umno yang ada,saya rasa sahlah kerajaan ini mementingkan parti politik tetapi tidak mementingkan langsung hak rakyat dan saya rasa sebagai anak muda dan pengguna facebook adalah anak muda saya harap Umno tidak menggunakan politik yang cetek dan menunjukkan mereka tidak layak untuk bergelar kerajaan," katanya.

Aishah juga menjangkakan bahawa ini adalah petanda-petanda awal bahawa PRU-13 semakin hampir.

"Saya rasa juga merasakan salah satu petanda-petanda awal bahawa kita akan menghadapi PRU-13 dengan merasakan kekuatan jentera media tersebut dan menunjukkan ia sesuatu untuk PRU ke 13 itu semakin hampir," jelasnya lagi.


Saturday, December 4, 2010

Kenapa subsidi syarikat kroni tak dipotong?

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyelar kerajaan kerana terus menaikkan harga barangan keperluan seperti petrol dan gula tetapi pada masa yang sama enggan mengurangkan subsidi untuk syarikat-syarikat kroni.

Katanya, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP umpamanya terus menikmati subsidi gas yang tinggi manakala rakyat dipaksa menanggung kenaikan harga petrol RON95 untuk kali kedua dalam tempoh enam bulan. “Walaupun kerajaan sebelum ini berjanji untuk memotong subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat IPP milik kroni, ia tidak di lakukan. “Anehnya, setiap pemotongan subsidi yang dilakukan oleh kerajaan setakat ini hanya membabitkan barang keperluan asas yang menambah beban kewangan rakyat,” kata Anwar.

Selain petrol, turut dinaikan harga, hari ini adalah gula (20 sen) diesel dan petroleum gas cecair, masing-masing lima sen. Anwar berkata amalan Umno-BN melindungi syarikat-syarikat korporat besar yang diberi lesen IPP amat merugikan rakyat. Menurut Anwar yang juga ketua umum PKR, tren kenaikan harga petrol jelas menunjukkan bahawa kerajaan berhasrat mengurangkan subsidi setiap enam bulan, sekali gus meningkatkan harga petrol kepada RM2.10 seliter dalam tempoh setahun dari RM1.90 sekarang.

Beliau kesal kerana kerajaan memotong subisidi untuk rakyat dan bukannya kemudahan yang diberikan kepada syarikat IPP dan sektor-sektor lain. “Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya harus menjelaskan kenapa ia amat tekun untuk menarik balik subsidi bagi petrol, gula dan LPG yang tentunya memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah, namun syarikat korporat yang kaya-raya dikecualikan dari tindakan sedemikian,” tegas Anwar. Sebelum ini, Perdana Menteri Najib Razak berkata agensi PEMANDU yang ditubuhkan dirinya sendiri menjangka kerajaan dapat menjimatkan RM1.12 bilion ringgit tahun ini jika subsidi untuk IPP dan sektor lain dikurangkan. Pada masa sekarang, kerajaan, menerusi Petronas menghulurkan subsidi RM19 bilion kepada IPP dan syarikat berkenaan setiap tahun. Menurut Anwar, apa yang dikesali ialah kerajaan Umno-BN begitu ghairah menjimat RM126 juta hasil pemotongan subsidi terbaru rakyat tetapi sanggup membayar RM131 juta ringgit kepada perunding-perunding asing.

Bayaran lumayan itu dibuat untuk menubuhkan agensi PEMANDU dan sebagai kos operasi setahun agensi berkenaan. “Apakah kewibawaan yang ada pada kerajaan untuk mengambil RM126 juta dari rakyat miskin untuk membayar perunding asing RM66 juta bagi menubuhkan sebuah unit kerajaan dan sebanyak RM65 juta lagi sebagai kos operasi,” katanya.

Apa persamaan perjuangan UMNO & PERKASA dengan perjuangan YAHUDI Laknatullah???

Istilah ketuanan Melayu adalah berbeza dengan hak keistimewaan Melayu kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain, kata mantan mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan 'keistimewaan' tidak boleh disamakan dengan ketuanan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Menurut Mohd Asri, jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata-mata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam.

Bangsa terpilih

“Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka 'bangsa terpilih' (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam,” katanya.

Mohd Asri berkata istilah ketuanan Melayu adalah istilah yang kabur yang tidak mempunyai pentakrifan khusus.

Katanya, jika merujuk kepada perkataan 'ketuanan Melayu', ia adalah dari akar perkataan 'tuan' kepada ketuanan dan digabungkan dengan 'Melayu'. Ini, katanya membawa bermaksud orang Melayu berada dalam status 'tuan' atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy).

“Jika merujuk kepada bahasa bererti orang Melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan orang bukan Melayu. Jika hendak ditakrifkan maka bererti kedudukan orang Melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia”, katanya.

Justeru, menurut beliau adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.

Dipandang mulia

“Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain Melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.

Memetik Surah al-Hujurat: 13, Mohd Asri berkata ayat itu menjelaskan bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.

Katanya, prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.

Beliau memetik hadis Nabi Muhammad SAW: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas 'ajam (yang bukan arab), atau 'ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai Hasan oleh al-Albani)”.

Katanya lagi, hujah bahawa ketuanan Melayu adalah tidak relevan berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: “Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah (Riwayat Muslim)”

Isu ketuanan Melayu menjadi hanta apabila Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada kongres parti itu minggu lalu mencadangkan konsep itu diketepikan jika bangsa Melayu ingin ke depan. Kenyataannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpik kerajaan BN dan juga pertubuhan bukan kerajaan Melayu, khususnya PERKASA yang melabelkan Wan Azizah sebagai 'pelacur politik'.


Wan Azizah pukul tepat sasaran "kelemahan" Umno

Bahagian Pertama

Oleh Kim Quek

Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail memukul tepat sasaran "kelemahan" Umno apabila beliau mengibaratkan konsep ‘Ketuanan Melayu’ sebagai ideologi songsang, yang menjadi tempat penggantungan Umno sejak bertahun-tahun lamanya.

Ketika menyampaikan ucapannya pada Kongres Tahunan parti 27 November lalu, beliau berkata, konsep ‘Ketuanan Melayu’ digunakan oleh golongan elitis Melayu untuk memperdaya orang-orang Melayu bagi mengekalkan kuasa politik mereka.

Namun hasilnya, majoriti orang-orang Melayu dan Bumiputera tetap miskin dan hidup seperti ‘melukut ditepi gantang’ walaupun Umno memerintah lebih 53 tahun.

Menyeru orang-orang Melayu supaya membuang jauh-jauh ideologi itu, beliau berkata, konsep "Ketuanan Melayu" hendaklah ditinggalkan supaya anak-anak kita membesar dengan visi saling hormat menghormati di antara kaum.

Mengikut standard demokrasi, seruan Wan Azizah untuk membuang faham perkauman harus dipuji sejajar dengan nilai fundamental yang diterima oleh setiap masyarakat di dunia ini.

Meskipun Malaysia terlepas dari kutukan dunia seperti mana yang dialami oleh dasar apartheid Afrika Selatan, suatu ketika dahulu, namun penyakit rasis masih kekal sebagai satu wabak yang menghancurkan integrasi nasional dan membantut perkembangan ekonomi.

Ketuanan Melayu tak dapat dipertahankan

Mungkin atas kesedaran bahawa ‘Ketuanan Melayu’ tidak dapat dipertahankan di mata dunia maka Umno kelihatan kehilangan punca bagaimana untuk respon terhadap asakan tanpa duga daripada Wan Azizah.

Untuk mendiamkan diri bermakna membenarkan kata-kata Wan Azizah dan ini boleh membawa padah dan masalah besar kerana melalui hasutan rasis sebeginilah Umno berharap dapat merentangi halangan pilihan raya umum akan datang. Jadi, bagaimana mungkin Umno dapat membebaskan diri dari mendokong konsep ‘Ketuanan Melayu’?.

Di samping itu, selagi Umno terus mempertahankan ideologi lapuk ini bermakna menarik kritikan dan penghinaan dari dunia luar. Ini tidak dapat dielak, memandangkan penggunaan peralatan komunikasi moden yang mampu membawa berita dan maklumat dengan sekelip mata maka kritikan dari masyarakat antarabangsa sukar untuk dibendung.

Jadi, selepas pulih dari kejutan yang dibuat oleh Wan Azizah, respon mula mencurah datang daripada para pemimpin tertinggi Umno tetapi alasan yang diberi sama ada tidak relevan atau mereka cuba mengelak dari menyentuh isu sebenar dan malah tidak ada yang berani berdepan dengan Wan Azizah.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan tegas daripada Wan Azizah itu sebagai langkah "menyelamatkan kapal yang sedang tenggelam" dan mengembalikan sokongan orang ramai selepas pepecahan dalam pemilihan parti PKR.

Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Umno Zahid Hamidi pula berkata Wan Azizah "cuba mengalihkan perhatian rakyat dari masalah serius dalam partinya."

Beliau berkata PKR mahu mengambil hati masyarakat Cina dan India bagi mendapatkan sokongan mereka pada pilihan raya umum akan datang. Sekali lagi, beliau mengelak dari menyentuh isu ‘Ketuanan’.

Kerja kotor Perkasa

Seperti yang dijangka, kerja kotor ini dilemparkan kepada sayap ultra rasis Umno, Perkasa untuk menjawabnya. Ketua Pemudanya Arman Azha Abu Hanifah (gambar diatas bersama seorang wanita berpakaian seperti pelacur) menyerang Wan Azizah dengan menyifatkan beliau sebagai "pelacur politik."

Beliau berkata beliau (Wan Azizah) dan pemimpin Melayu PKR yang lain terhutang budi kepada dasar ‘Ketuanan Melayu’ atas pencapaian profesional mereka dan sekarang ini mereka telah mengkhianati bangsa Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Cina dan India.

Lebih menarik, sikap kurang ajar dan tidak sensitif yang diperlihatkan Arman dengan menghentam para pemimpin Melayu yang lain menjustifikasikan seruan Wan Azizah untuk menolak mentaliti ‘Ketuanan Melayu’ bagi memulih semula penghormatan dan harga diri bangsanya.

Kenyataan beliau menyifatkan Wan Azizah sebagai "pelacur" merupakan satu penghinaan terhadap bangsanya sendiri.

Kenyataan beliau bahawa orang-orang Melayu tidak mampu mencapai kemajuan tanpa mendapat layanan istimewa disebabkan bangsa merupakan satu lagi penghinaan terhadap bangsanya sendiri.

ESOK: Bukti jelas perkauman Umno

Friday, December 3, 2010

SAMM bersama MB Selangor bantah kenaikan tarif air 5 Disember


PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai demonstrasi aman membantah kenaikan tarif air pada 5 Disember ini.

"SAMM akan bersama MB (Selangor) dalam satu perhimpunan aman dan seterusnya menghadap Yang DiPertuan Agong memohon perkenaan campur tangan Seri Paduka dalam isu hak air rakyat di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Penyelaras SAMM Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sudah terlalu kaya sehinggakan gaji Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Rozali Ismail menjangkau RM425,000 sebulan.

"Ini belum masuk perbagai elaun keistimewaan yang diperolehinya setiap bulan dengan hanya memperdagangkan air yang menjadi hak asas rakyat," katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja kenaikan air harus ditolak tetapi pengurusan air hendaklah dikendalikan oleh kerajaan negeri bagi pihak rakyat.

SAMM katanya, sudah bertemu dengan pihak penganjur bagi memastikan himpunan aman ini berjalan lancar.

"Sekurang-kurangnya 50 petugas (’marsyal demo’) yang berpengalaman akan ditempatkan bagi memastikan kelancaran dan mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak di ingini.

Wednesday, December 1, 2010

Kenapa Umno takut bukan Islam dekati al-Quran?

KUALA LUMPUR: Sepatutnya pemimpin bukan Islam diberikan galakan supaya mereka bertambah minat untuk membaca dan merujuk kepada Al-Quran dalam apa juga permasalahan manusia.

Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab berpandangan demikian sebagai mengulas sejak akhir-akhir ini ramai di kalangan pemimpin bukan Islam berminat untuk merujuk al-Quran dan menggunakan terjemahan al-Quran dalam ucapan mereka.

Namun begitu, katanya pemimpin Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam mula berjinak-jinak dengan al-Quran.

Tambahnya, bermacam alasan diberikan, takut salah tafsir, menghina al-Quran, mencemarkan kesucian al-Quran dan sebagainya.

Baginya, jika orang bukan Islam melakukan kesalahan, mereka bukannya dihalang dari merujuk kepada al-Quran tetapi kesalahan itu diperbetulkan.

Umno lempar berbagai tuduhan

Malangnya, tambah beliau pemimpin Umno bukannya menggalakkan mereka mendekati al-Quran malah terus melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada pemimpin yang membaca terjemahan al-Quran.

“Perangai buruk pemimpin Umno inilah sebenarnya yang menyebabkan orang bukan Islam terus menjauhi Islam dan memusuhi Islam kerana mereka dihalang dari mendekati Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, lihat sahaja contoh MCA dan MIC walaupun sudah berkawan dengan Umno lebih dari 50 tahun tetapi sehingga kini mereka tidak berminat kepada Islam kerana puncanya Umno sendiri pun meminggirkan Islam.

“Saya pun tidak faham mengapa Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam menggunakan terjemahan al-Quran dalam ucapan mereka,” katanya.

Beliau berpendapat, mungkin Umno terasa tercabar kerana orang bukan Islam merujuk al-Quran tetapi Umno meminggirkan al-Quran atau Umno takut orang bukan Islam faham Islam dan seterusnya menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Berjinak-jinak dengan Islam

“Sebagai seorang Islam kita sepatutnya gembira dan bersyukur apabila orang bukan Islam mula berjinak-jinak dengan Islam dan menjadikan al-Quran sebagai salah satu rujukan mereka.

“Apa yang penting kita membetulkan mereka jika berlaku kesilapan dan kesalahan,” ujarnya.

Katanya, ulama mesti memberi penerangan kepada seluruh rakyat tentang pengunaan ayat-ayat al-Quran oleh orang bukan Islam supaya semua orang Islam tahu bahawa bukanlah menjadi kesalahan untuk orang bukan Islam membaca dan merujuk terjemahan al-Quran dalam ucapan dan kehidupan seharian mereka.

Justeru, beliau mengharapkan selepas ini semua pemimpin dan penganut Islam terus memberikan sokongan padu kepada orang bukan Islam merujuk kepada Al-Quran dalam apa juga permasalahan manusia.

Isu itu tercetus semula apabila Adun Hutan Melintang, Perak, S. Kesavan dilaporkan membacakan terjemahan al-Quran merujuk kepada ayat yang lain daripada apa yang sepatutnya.

Bagi Sofi, adalah bukan suatu perkara yang pelik jika Umno tidak suka pemimpin bukan Islam menggunakan ayat al-Quran kerana Umno sendiri selalu meminggirkan al-Quran dalam tindakan seharian mereka.

Dalam isu menghalalkan judi dan riba, judi bola, mendedahkan aurat, meminggirkan hukum hakam Islam dan sebagainya jelas Umno membelakangkan al-Quran, katanya