Monday, February 8, 2010

KENYATAAN MEDIA SIDANG AKHBAR PARTI KEADILAN RAKYAT CABANG SIK & ANGKATAN MUDA KEADILAN CABANG SIK


TARIKH: 7HB. FEB.2010

MASA : 2.00 PETANG

Assalammualaikum W.B.T dan selamat petang. Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran
kepada Allah S.W.T kerana dengan keizinan dan limpah rahmatnya pada petang ini kita dapat
mengadakan satu sidang akhbar untuk menerangkan keadaan sebenar kedudukan PKR Cabang Sik dan seterusnya dapat menjawab segala tohmahan dan fitnah yang telah dilemparkan terhadap PKR Cabang Sik khususnya AMK Cabang Sik.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada wartawan-wartawan kerana sudi datang untuk
sidang akhbar ini.

Sebenarnya senario yang berlaku di Sik ini seperti mana yang tuan-tuan sedia maklum dan sudah pun tersebar ke seluruh Malaysia, bukanlah satu senario yang baru dan pelik. Mengapa saya mengatakan demikian. Ini kerana tuan-tuan pun tahu ini adalah salah satu propaganda dan agenda jahat UMNO untuk melemahkan kekuatan Pakatan Rakyat khususnya PKR. UMNO pada ketika ini berasa amat gentar dan gerun dengan kekuatan Pakatan Rakyat khususnya PKR dan PKR Cabang Sik.

Pada masa sekarang di Parlimen Sik khususnya golongan muda begitu tertarik dan amat berminat untuk menyertai PKR. Bilangan golongan ini yang menyertai PKR amat menggalakkan pada masa sekarang.Atas sebab itulah UMNO khususnya UMNO Bahagian Sik merasa gelabah dan tidak keruan.Maka oleh sebab itulah mereka telah menyusun dan mengatur satu propaganda untuk melemahkan PKR Cabang Sik.

Ini terbukti seperti yang tuan-tuan sedia maklum iaitu pada 5hb Februari 2010 yang lalu kononnya seramai 200 ahli AMK PKR Cabang Sik telah mengisytiharkan keluar parti dan membubarkan AMK Cabang Sik. Mereka juga telah membuat satu kenyataan bahawa PKR Cabang Sik juga akan dibubarkan. Ini merupakan satu pembohongan yang terang lagi nyata yang sengaja direkayasa dengan tujuan untuk memecahbelahkan parti.

Tuan-tuan, ini bukanlah lakonan baru UMNO tetapi lakonan dan skrip lama yang diulang-ulang oleh mereka. Mereka telah mengumpul ahli-ahli pemuda UMNO dan kemudiannya mengisytiharkan keluar PKR.Tuan-tuan, saya tidak nafikan sebenarnya memang terdapat beberapa orang ahli PKR Cabang Sik bersama mereka tetapi saya yakin mereka tidak lebih dari 5 orang ahli yang telah kita kenal pasti. Selainnya adalah pelakon-pelakon yang didatangkan oleh UMNO khususnya UMNO Bahagian Sik.

Mereka ini sebenarnya adalah ahli-ahli PKR yang kecewa kerana tidak mendapat kedudukan dalam parti (bukan parti menyekat mereka tetapi mereka tidak layak dan tidak berkebolehan). Spesis-spesis ini menyertai parti selepas kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU 12 dengan niat dan tujuan untuk mencari kepentingan peribadi. Mereka ini tidak ikhlas dalam perjuanganparti dan memperjuangkan hak rakyat.

Dahulu mereka adalah ahli-ahli UMNO tetapi apabila tidak mendapat tempat dalam UMNO
mereka keluar menyertai PKR. Sekarang mereka tidak mendapat kedudukan dan habuan dalam PKR mereka keluar untuk menyertai UMNO semula. Saya hendak berpesan kepada UMNO bergembiralah menerima keahlian mereka ini kembali kerana dengan pengisytiharan mereka keluar dari PKR, sebenarnya telah menghapuskan satu beban yang besar kepada PKR khususnya PKR Cabang Sik. Ini kerana mereka ini bagaikan ‘duri dalam daging’ yang menimbulkan pelbagai masalah dalam parti.

Sebenarnya mereka ini adalah golongan yang telah lama kecewa dalam PKR. Pertama ketika Pilihanraya kecil Bukit Selambau yang lepas mereka tidak mendapat apa yang mereka kehendaki dan ada di antara mereka pada masa itu telah belot kepada parti. Kedua ada di antara mereka yang bercita-cita untuk menjadi ahli Majlis Daerah Sik. Tetapi mereka tidak dipilih oleh parti kerana tidak memenuhi syarat jadi mereka bertindak keluar dari parti

Sebenarnya parti di dalam proses untuk memecat dan menggantung keahlian mereka. Jadi
tindakan mereka ini memudahkan lagi kerja parti untuk memecat mereka. Terima kasihlah
kepada mereka kerana tidak lagi menjadi beban kepada parti. Golongan seperti ini penyertaan mereka di dalam parti bukan untuk berjuang atau bekerja untuk rakyat tetapi hanya memikirkan apakah habuan yang bakal mereka perolehi. Golongan ‘opportunist’ seperti ini saya percaya dan yakin bahawa mereka tidak akan berjaya mendapat dan menarik sokongan rakyat.

Rakyat sudah masak dan muak dengan lakonan mereka. Tindakan mereka tidak akan dapat
mengganggu-gugat kekuatan Pakatan Rakyat khususnya PKR Cabang Sik dan saya pasti
kekuatan PKR akan menjadi lebih kuat lagi, dengan ketiadaan mereka. Ini kerana selama ini pun mereka tidak menyumbang apa-apa kepada parti. Sebaliknya hanya memberi masalah sahaja kepada parti. Lagi pun mereka ini hanyalah ahli biasa yang tidak memegang apa-apa
jawatan dalam parti.

Kepada golongan ini saya ingin berpesan jadilah manusia yang berprinsip dan bermaruah. Janganlah menggadaikan prinsip dan maruah kita hanya kerana sedikit habuan, kerana Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud “janganlah kamu menggadaikan kepentingan agama kerana memikirkan sedikit keuntungan dunia kerana mereka itu akan tergolong di kalanganorang-orang yang rugi di dunia dan akhirat”.

Saya harap dengan penjelasan ini maka segala prasangka negatif terhadap keutuhan dan kekuatan Pakatan Rakyat khususnya PKR Cabang Sik telah terjawab. PKR Cabang Sik serta
AMK Cabang Sik tetap utuh dan kuat untuk meneruskan agenda perubahan rakyat dan menawan Putrajaya pada PRU 13 nanti. UMNO- Barisan Nasional pasti akan kecundang bukan sahaja di Sik malah di seluruh negara. INSYAALLAH.


HIDUP PKR! REFORMASI!


Sekian. Terima kasih.

PKR CABANG SIK & AMK CABANG SIK