Tuesday, September 29, 2009

Isa Samad Calon "Be End" di Bagan Pinang.


Tan Sri Isa Samad diumumkan sebagai calon BE END dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Isa merupakan ketua AMENO bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden AMENO.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BE END dalam majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri BE END peringkat negeri di Batu 6, Jalan Pantai dekat sini petang ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BE END yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan AMENO 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BE END dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, katanya, imej AMENO akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Isa, katanya, sudah didapati bersalah dan kalau AMENO letak beliau sebagai calon, ia juga bermakna bahawa Umno tidak ambil berat tentang kes-kes semacam itu.

Dr Mahathir berkata, kalau pun Isa boleh menang tetapi AMENO "kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap AMENO".

Nik Aziz jemput Mahathir sendiri lawat Kelantan


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melawat dan melihat sendiri pembangunan di bawah pentadbirannya di Kelantan.

Beliau berkata, tidak perlu bekas Perdana Menteri itu datang ke pejabatnya (secara rasmi) untuk meninjau sejauh mana kejayaan yang dicapai sepanjang mentadbir negeri ini yang dianggap mundur dan tidak membangun itu.

Nik Aziz mendakwa, pembangunan yang dibawa kerajaan negeri ialah pembangunan dari segi fizikal dan pembersihan minda dan ini paling penting berbanding pembangunan fizikal.

"Kenyataan itu, (kononnya) kerajaan negeri di bawah tadbiran saya ini tidak maju dan mundur, tidak betul. Sebab itu saya jemput dia mari sendiri tengok dari segi pembangunan fizikal, sekarang ada KB Mall, ada Hotel Renaissance, ada pasar raya Tesco, ada Parkson, ada Nirwana, dia boleh tengok sendirilah," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Menteri Besar Kelantan itu harus bertanggungjawab terhadap kemunduran negeri itu di bawah pentadbiranya.

Dr Mahathir berkata, pada satu tahap tertentu, beliau (Nik Aziz) bertanggungjawab terhadap kemunduran Kelantan.

Beliau perlu menerimanya. Di negara lain, orang akan letak jawatan jika mereka gagal, katanya.

Nik Abdul Aziz berkata tindakan perubahan utama yang dilaksanakan di Kelantan adalah membetulkan tauhid orang Islam di negeri berkenaan, termasuklah isu halal dan haram.

Antara perubahan yang dibawa adalah menutup premis judi nombor ekor, menghadkan penjualan arak, melaksanakan sistem gadaian Islam dan mengimarahkan masjid.

"Brain wash yang paling penting sekali, daripada syirik kepada tauhid dan Kelantan sekarang ni tegak di atas Islam, halal haram kami ambil peduli," katanya.

Mursyidul Am Pas itu juga memberi contoh pembangunan ala pembersihan minda yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinannya dibuat sebelum hari raya, baru-baru ini.

Di bawah program itu, belia Islam berkerjasama dengan belia Cina dan India membahagikan juadah dan air minuman untuk berbuka puasa di jalan Kuala Krai kepada pemandu kenderaan (anak Kelantan di perantauan) yang pulang berhari raya.

Kempen Bagan Pinang bermula

Menjelang penghujung hari ini, nama calon-calon yang akan mewakili PAS dan AMENO di Bagan Pinang akan diketahui umum.

AMENO akan mengumumkan calonnya petang ini pada majlis rumah terbuka sambutan Hari Raya Aidilfitri di markas utamanya di sini.

Hari ini juga Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak memulakan kempennya di Bagan Pinang dengan satu lagi rumah terbuka di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di Si Rusa, kem yang diduduki hampir 2,000 pengundi pos. Lebih 4,000 daripada kira-kira 15,000 pengundi Bagan Pinang adalah anggota keselamatan.

Najib kemudiannya akan bersama-sama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis pengumuman calon.

Penyertaan presiden AMENO itu dalam majlis pengumuman nama calon adalah satu tradisi baharu dalam BE END yang mengharapkan kemenangan mudah di Bagan Pinang.

Biasanya pengumuman calon hanya dihadiri timbalan presiden parti yang juga bertindak sebagai pengarah pilihan raya kebangsaan.

Kehadiran Najib di majlis itu menandakan BE END kini sudah sangat yakin akan memperoleh kemenangan, walaupun parti pemerintah itu berhadapan dengan dilema pemilihan calon.

Nama yang menjadi pilihan utama adalah bekas Menteri Besar Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, namun wujud pelbagai tekanan daripada pusat sehingga ke saat akhir supaya dicalonkan nama lain kerana ketua bahagian AMENO Teluk Kemang itu telah disabitkan atas kesalahan politik wang dalam partinya sendiri pada tahun 2005.

Namun walau siapapun calonnya kempen BE END tetap tidak lari daripada tradisi mengumumkan projek-projek pembinaan.

Semalam Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan mengumumkan pembinaan dua sekolah baharu di Bagan Pinang, satu sekolah rendah bernilai RM18 juta di Batu 9 Port Dickson dan satu lagi sekolah menengah dengan nilai RM20 juta di satu tapak yang belum ditentukan.

Di pihak PAS pula, jawatankuasa pusatnya akan bermesyuarat petang ini sebelum menetapkan nama calon yang akan diumumkan dalam ceramah malam ini yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

PAS kini perlu memilih antara tiga nama sebagai calon iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefli Omar, Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Kemang Ramli Ismail dan bekas Ketua Dewan Ulama PAS negeri Ustaz Kassim Tahir.

Ketiga-tiga nama ini masing-masing mampu memberikan kelebihan kepada PAS dengan kesemuanya berpengalaman dan aktif dalam aktiviti masyarakat tempatan.

Mahathir diguna untuk selamatkan BE END

PULAU PINANG,29 Sept: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menegaskan, akhirnya Barisan Nasional (BE END) terpaksa mengcugkil 'bahan purba' untuk menyelamatkan senario politik tanahair apabila Barisan Nasional (BE END) dilihat tertekan dengan isu yang mencengkam peribadi kepimpinan.

Mantan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang didakwa dapat meningkatkan sokongan ekoran terkenal dengan jolokan 'cucu Tok Guru' juga tidak berdaya menyekat kemaraan rakyat menolak BE END setelah terbongkar menantunya, Khairy Jamaluddin menjadi pengerak utama pengtadbiran.

Malahan di era kepimpinannya, BE END terus menjunam apabila kalah teruk pada pilihan raya ke-12 lalu walaupun pada awal penguasaanya menyaksikan peningkatan.

Di era kepimpinan Perdana Menteri sekarang, Dato' Seri Najib Tun Razak masih terpalit isu Antantuya, kapal selam dan sebagainya maka jalan pintas BE END terpaksa memanggil mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdiri di belakang untuk menguatkan hujah serta bercakap bagi pihak kerajaan.

"BE END terpaksa mengeluarkan 'bahan purba' semula untuk selamatkan senario politik tanahair yang semakin meruncing dengan berbagai isu termasuk rasuah, penyelewengan, kroni, sistem kehakiman yang musnah, penindasan dan ugutan politik berleluasa, " terangnya dalam ceramah di Kampung Pelet, Penanti semalam.

Baginya, panggillah sesiapa pun kerana rakyat sendiri sudah muak dengan gelagat kepimpinan BE END yang asyik mementingkan diri.

Pada tujuh pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum ke-12 lepas juga memperlihatkan kecenderungan rakyat kepada Pakatan Rakyat yang berjaya merampas lima negeri daripada AMENO dan BE END.

Justeru itu sambungnya, Dr Mahathir dibenarkan memberikan kenyataan di siaran televisyen atau media cetak setiap malam mengulas atau memberi pandangan tentang keadaan politik atau permasalahan yang terjadi dalam BE END.

"Dr Mahathir seolah nak jadi Perdana Menteri balik bila mukanya sering terpampang di kaca TV dan akhbar tidak sepertimana Pak Lah sepi umpama sudah meninggal, " tambahnya yang juga bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dan Kuala Kedah, Kedah.

Najib ujar beliau, menyedari tidak mampu lagi mengetuai jentera pilihan raya kerana semuanya tewas dengan majoriti besar kecuali di Manik Urai, Kelantan sekadar 65 undi sahaja.

Jamuan Aidilfitri Yayasan Aman Kedah

Pada: 2 Oktober (Jumaat)
Masa : Lepas Maghrib 8.00 - 10.00 Malam.
Tempat : Yayasan Aman, Sg Lalang.

Seluruh Rakyat di jemput hadir beramai-beramai.
Pelbagai Juadah disediakan.

Bagan Pinang: Nama calon BN, Pas dijangka diumum petang ini

SEREMBAN: Teka-teki siapa calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang bakal terjawab apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengumumkannya, petang ini.

Muhyiddin dijangka mengumumkan nama calon yang dipilih BN itu ketika majlis jamuan Aidilfitri di Batu 6, Jalan Pantai, Port Dickson, jam 4 petang ini.

Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dijangka mengumumkan calon parti itu di Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) DUN Bagan Pinang, di Teluk Kemang, jam 9 malam.

Bagan Pinang: Pengundi bukan Melayu bersedia buat perubahan


BAGAN PINANG, 29 Sept: Rakyat perlu membuat perubahan setelah 52 tahun Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah Negara khususnya di Negeri Sembilan.

Masyarakat tionghua dan India pula telah bersedia membuat perubahan dan diharapkan para pengundi Melayu turut serta menolak Umno-BN dalam pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang, 11 Oktober ini.

Setiausaha Politik Khas kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Encik Yau Con Seng berkata 52 tahun BN memerintah gagal membela rakyat.

Katanya, pengundi bukan Melayu terutama masyarakat tionghua akan membuat perubahan memilih Pakatan Rakyat.

"Kita (tionghua) sudah faham dengan perjuangan PAS melalui slogan 'PAS For All' dan akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"52 tahun Umno dan kerajaan Barisan Nasional memerintah Negara dan taraf kehidupan rakyat tidak banyak berubah," ujarnya yang dipetik Buletin Online ketika ditemui, semalam.

Beliau melahirkan rasa kebimbangan terhadap pengundi Melayu yang masih disifatkan tidak banyak berubah.

"Masa untuk kita (rakyat) berubah telah tiba dan saya harap pengundi tionghua seramai 1,500 orang semua mengundi PAS.

"Kita (tionghua) jangan beri satu undi pun kepada calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kali ini.

"Saya harap pengundi Melayu pun sedia untuk buat perubahan kerana pengundi Cina dan India sudah 'berani' (berubah),"jelasnya.

Menurutnya, masyarakat tionghua kini tidak takut lagi dengan hudud kerana telah diberi penjelasan.

Katanya, undang-undang hudud hanya untuk orang Islam dan tidak melibatkan masyarakat bukan Islam di Negara ini.

Monday, September 28, 2009

PKFZ : AMK Selar PDRM


Kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi dipertikaikan apabila mengheret isu skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kepada penyiasatan ke atas Raja Petra Kamarul dan ahli kabinet yang telah membocorkan kertas kabinet melibatkan projek berkenaan.
Polis kelihatan bekerja keras dalam memastikan mereka yang terlibat dalam usaha penghebahan kandungan yang dikatakan sebagai kertas kabinet dihukum kerana telah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Persoalannya di sini, mana lebih penting?

Apa yang pasti, kandungan kertas kabinet itu mendedahkan tentang Menteri Kewangan membuat syor kepada kabinet supaya memberi kelulusan secara retrospektif peningkatan kos pembangunan daripada RM 1.088 bilion kepada RM 4.6 bilion zon bebas cukai itu.

Menteri Kewangan juga dikatakan membuat syor supaya kabinet meluluskan pinjaman RM4.6 bilion kepada Lembaga Pelabuhan Kelang (PKA) untuk menyiapkan projek berkenaan.

" Apabila Musa Hassan mengumumkan akan membuat siasatan konon berlakunya pembocoran kertas kabinet, berkaitan dengan skandal PKFZ. Kita merasakan bahawa Musa Hassan cuba lari daripada isu yang sebenar" ujar Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin.

Skandal PKFZ walaupun ianya dibincangkan di kabinet, dan diputuskan dalam kabinet menunjukkan menteri-menteri cuba mencari jalan untuk menghalalkan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ ini.

Fokus utama kandungan kertas kabinet itu hakikatnya memberi peluang kepada rakyat untuk menilai sejauh mana ketelusan dalam pentadbiran kewangan di negara ini.

Timbul isu sama ada kertas kabinet itu mungkin palsu. Tetapi jika ia benar, polis sewajarnya meluaskan skop penyiasatan mereka kepada pihak yang bertanggungjawab tanpa memilih bulu dan bukannya menghumban mereka yang cuba mencari kebenaran di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

" Nampaknya Musa Hassan dan seluruh element kepolisian ini ingin mencari siapakah menteri yang bertanggungjawab dan tidak memfokuskan kepada usaha untuk menyiasat bagaimana penyelewengan wang rakyat boleh berlaku, siapa yang terlibat, siapa menteri yang mendalangi skandal ini, dan siapakah orang politik dari UMNO, MCA dan Barisan Nasional yang mendapat keuntungan. Itu yang sebenarnya yang harus diberikan tumpuan" tambahnya lagi.

Namun tindakan polis ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Waima, ianya acapkali berulang sehingga ramai yang melabelkan institusi kepolisian itu sebagai kuda tunggangan UMNO-BN dalam menyelamatkan kepentingan politik dan peribadi mereka.

" Sekarang ini mereka sedang cari kambing hitam . Dalam hal ini ada dua kambing hitam mereka cari. Yang pertamanya Raja Petra, serangan sekarang tertumpu kepada Raja Petra dan yang keduanya, mereka akan cari sampai dapat siapa menteri yang mendedahkan yang membongkarkan kertas kabinet ini".

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga memberi respon berkenaan dengan isu tersebut.

" Ya saya melihat ini satu usaha untuk menutup kes ini dan akhirnya saya menjangka bahawa mereka akan mengisytiharkan bahawa dokumen yang tersiar dalam Malaysia Today itu adalah dokumen rekaan dan akhirnya tidak ada siapalah yang kena tangkap".

Bagi beliau apa yang lebih penting ialah mereka yang menggelapkan wang rakyat harus didakwa dan bukannya mereka yang membongkarkan pengkhianatan tersebut meski pun ia melibatkan orang kenamaan dalam barisan kerajaan.

" Bagi saya bahawa saya minta polis sepatutnya bukan menyiasat untuk menentukan sama ada dokumen itu betul atau pun tidak kerana Datuk Najib sendiri telah pun menyatakan bahawa dokumen itu sebagai dokumen yang disahkan sebagai dokumen kabinet. Jadi apa yang penting sekarang ini ialah bukan siasatan siapa yang membocorkan dan menyebar dokumen kabinet itu tetapi yang harus disiasat ialah bagaimana kabinet boleh meluluskan satu keputusan yang melanggari prosedur- prosedur kewangan" katanya.

Beliau juga turut menggesa kerajaan mengambil langkah mengisytiharkan kertas kabinet yang melibatkan PKFZ sebagai dokumen umum.

" Bermakna jika dokumen ini dianggap open document atau dokumen terbuka, siapa-siapa sahaja boleh memiliki dan siapa-siapa sahaja boleh mengetahui tentang dokumen yang boleh mengetahui apa sebenarnya keputusan yang dibuat oleh kabinet yang menunjukkan bahawa kes ini bukan hanya membabitkan Ong Tee Kiat tetapi kes ini membabitkan hampir keseluruhan anggota kabinet pada waktu itu yang sebahagian besarnya masih berada dalam kabinet di bawah Datuk Najib, termasuk Datuk Najib sendiri dan juga Tan Sri Muhyiddin yang terlibat dalam membuat keputusan melanggari prosedur dan peraturan-peraturan kewangan".

" Saya cabar kerajaan khususnya kepada Datuk Najib, kalau betul Datuk Najib mendokong prinsip integriti, ketelusan untuk melihat kepentingan negara dan rakyat ini, saya mencabar untuk Datuk Najib mengisytiharkan dokumen kabinet yang dianggap sebagai rahsia rasmi tersebut iaitu dokumen berkaitan PKFZ, supaya dikeluarkan dari klasifikasi OSA".

Barisan Nasional pinggirkan PBRS Dalam Pelantikan Jawatan, Dakwa Kurup

KOTA KINABALU, 28 Sept - Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup mendakwa terdapat pemimpin parti itu dipinggirkan dalam pelantikan jawatan anggota majlis daerah.

Beliau berkata tindakan itu memperlihatkan seolah-olah PBRS dilayan seperti parti pembangkang dan bukan satu daripada komponen parti Barisan Nasional (BN).

"Dalam pelantikan anggota majlis daerah, kita dimaklumkan bahawa adakalanya pemimpin PBRS dipinggirkan...perkara ini sepatutnya tidak berlalu.

"Sepatutnya semua anggota parti komponen Barisan Nasional mengamalkan konsep 1BN melalui layanan sama rata termasuk pelantikan jawatan kerajaan peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pengurusan parti di sini ,Isnin.

Seminar sehari itu, antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai perlembagaan baru parti dan penjelasan mengenai konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kurup turut memberi contoh pemilihan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menyaksikan kemenangan seorang pengerusi JKKK di kalangan anggota PBRS tidak diiktiraf.

Sehubungan itu, Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berharap anggota parti komponen BN benar-benar mempraktikkan prinsip perkongsian kuasa dan sedia berkompromi demi memelihara keutuhan parti dan perpaduan.

"Sebab itu, kita mahu memberi kesedaran kepada ahli kita di mana kita seharusnya bertoleransi berkaitan dengan keperluan parti ini dan meningkatkan persefahaman dengan ahli parti dalam BN.

"Ia sangat diperlukan kerana kalau tiada persafahaman...mungkin berlaku perselisihan. Oleh kerana ada perasaan tidak bagus, kita tidak dapat elakkan terdapat kemungkinan besar berlaku sabotaj dalam pilihan raya," katanya.

Kurup berkata sikap tolak ansur dan hormati menghormati adalah penting bagi mengukuhkan kekuatan BN terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Gobalakrisnan Ditahan Polis

AHLI Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan (tengah) ditahan oleh anggota polis ketika beliau meninggalkan perkarangan Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam, hari ini.

Ia berkaitan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret Tapah bulan lalu.

Sebelum itu, Gobalakrisnan tiba di mahkamah untuk menghadapi tuduhan menghalang anggota polis pada hari penamaan calon pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir pada 17 Ogos lalu.

Gobalakrishnan sedang berjalan keluar dari bilik mahkamah bersama anggota keluarganya serta peguamnya apabila dia didatangi anggota polis yang membawanya menaiki sebuah van putih ke ibupejabat polis Seberang Perai Tengah di Bandar Baru Perda.

Beliau kemudiannya dibawa ke balai polis Tapah. Gobalakrishnan dijangka dihadapkan ke mahkamah di Tanah Rata pagi esok berhubung kes pada 2004.

Anak lelaki Gobalakrishnan - Pravin - ketika dihubungi berkata polis menunjukkan waran tangkap bertarikh 20 Ogos tetapi tidak menyatakan sebab dia ditahan.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini menetapkan 28 Oktober ini untuk keputusan permohonan Gobalakrishnan bagi mendapatkan semula seluar dan tali pinggang yang dipakainya pada hari penamaan calon tersebut.

Majistret Mohd Azhar Hamzah menetapkan tarikh itu bagi membolehkannya mengkaji permohonan peguam Gobalakrishnan, JM Martin untuk mendapatkan kembali pakaian milik anak guamnya itu yang dibuat mengikut Seksyen 20 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Dalam prosiding hari ini, Martin memohon supaya mahkamah memerintahkan polis memulangkan pakaian anak guamnya itu yang dipakainya pada hari dia dikatakan menghalang tugas penjawat awam di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, 17 Ogos lalu.

Beliau berhujah mengikut Seksyen 20 KAJ, polis boleh memeriksa dan mengambil segala barang yang ada pada badan tertuduh selain daripada pakaian yang menutup badannya dan menyimpannya di tempat yang selamat.

Katanya seluar yang koyak dan tali pinggang itu merupakan bukti penting bagi kes itu dan juga satu saman sivil yang dikemukakan anak guamnya terhadap polis berhubung kejadian itu.

Pada 18 Ogos lalu, Gobalakrishnan dihadapkan ke Mahkamah Majistret itu kerana menghalang seorang pegawai polis menjalankan tugas.

Dia didakwa menggunakan kekerasan bagi menghalang M. Karunamuthi daripada menjalankan tanggungjawabnya di hadapan IKBN, pada jam 11 pagi, 17 Ogos 2009.

Dia dituduh menurut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hasnurliza Mohd Radzi.

Sementara itu, sebaik hendak meninggalkan bangunan mahkamah, Gobalakrishnan ditahan polis dan dibawa ke Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bandar Perda, di sini.

Menurut Martin, beliau difahamkan anak guamnya itu ditahan berikutan satu waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya berkaitan kes mahkamah di Perak pada 2004.

Mana lebih baik, cara Selangor atau Kedah?

Sejak dari awal lagi, dua negeri Pakatan Rakyat iaitu Selangor dan Kedah mempunyai pendekatan berbeza. Selangor dilihat mengamalkan dasar terbuka manakala Kedah pula mengamalkan dasar tertutup.

Tidak pasti, apakah ia benar-benar dasar kedua-dua kerajaan negeri itu tetapi itulah yang dilihat dari luar.

Kesemua Exco kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bebas memberikan pandangan masing-masing.

Masing-masing bebas membuat kenyataan akhbar, memanggil sidang akhbar apatah lagi bercakap kepada wakil-wakil media.

Isinya pula boleh menerangkan dasar dan perancangan kerajaan negeri bagi pihak portfolio masing-masing ataupun bercakap atas nama parti masing-masing.

Datuk Dr Hasan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor, bebas bercakap tentang portfolio agama, insfrastruktor dan Melayunya bagi pihak kerajaan negeri. Ronnie Liu pula bebas bercakap tentang kerajaan tempatannya dan apa-apa perancangan mengenainya. Apatah lagi MB, Tan Sri Khalid.

Kerana kebebasan itulah kadang-kadang jelas kelihatan percanggahan kenyataan antara mereka dalam media walaupun bercakap dari kerajaan yang sama.

Ia juga sering digunakan oleh media BN untuk memukul Pakatan Rakyat sehingga lahirlah kenyataan kononnya parti dalam Pakatan di Selangor tidur satu bantal tetapi mimpi berbeza.

Akibat dari keterbukaan ini pula jelas amat positif dalam mematangkan Selangor dan para pemimpinnya. Mereka tidak terlalu sensitif dengan kritikan bahkan sangat terbuka.

Khalid Ibrahim, walaupun seorang yang dipanggil Yang Amat Berhormat Menteri Besar, boleh dimaki dan dikutuk secara berdepan apabila beliau berdialog dengan penduduk Seksyen 23 mengenai isu kuil Hindu. Hasilnya, isu kuil ini berjaya diselesaikan dengan baik dan cepat walaupun cuba diselesai berpuluh-puluh tahun oleh Umno dan BN yang memerintah Selangor sebelum ini.

Walaupun nampak masalahnya tetapi bagi yang mahukan keterbukaan, cara Selangor ada baiknya.

Berbeza dengan kerajaan Pakatan di Kedah. Ia dilihat sangat tertutup. Cool sahaja tanpa kelihatan sebarang masalah. Kalau adapun, ia bukan karenah para exconya tetapi dari mereka yang berada di luar kerajaan.

Tidak ramai yang mengetahui apa sebenarnya perkembangan yang berlaku di Kedah. Kalau adapun, kenyataan yang keluar adalah dari Menteri Besarnya sahaja, Datuk Seri Azizan Razak.

Yang terbaru, Azizan berjanji akan menyelesaikan masalah kutipan sampah di negeri itu November ini kerana janji September lepas tidak berjaya dipenuhi oleh kontraktor terbabit.

Walaupun kecoh beberapa Adun akan meninggalkan Pakatan di Selangor, namun yang berlaku adalah Adun yang juga Exco kerajaan negeri Kedah dahulu yang keluar parti dan kemudiannya dipecat dari Exco. Sebelum ia berlaku, orang luar tidak tahu pergolakan dalam kerajaan negeri itu.

Jelas bagi orang luar, Kedah cool tanpa masalah. Jelas juga kepada orang luar, Selangor panas, hari-hari bertembung dalam media. Namun, pendekatan manakah yang lebih tepat, ia belum tentu lagi. Tunggulah masanya kerana masa yang lebih tepat memberikan kata putusnya.

Saiful muncul lagi menjelang pilihan raya kecil


KUALA LUMPUR, 27 Sept: Mohd Saiful Bukhari Azlan yang telah menjadi watak utama dalam kes yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelangnya pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh bulan Ogos yang lalu dijangka akan mengulangi watak utama menjelangnya PRK di Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang tidak lama lagi.

Jika dalam PRK di Parlimen Permatang Pauh isu Saiful telah dimainkan secara meluas termasuk oleh media arus perdana maka sekali lagi dalam PRK Bagan Pinang beliau akan dijadikan ikon sekali lagi bagi pemuda-pemuda untuk menjadi contoh bagaimana seorang anak muda yang rela untuk mendedahkan kejelekan dan keburukan yang ada pada dirinya bagi kepentingan politik sesetengah pihak.

Dalam konteks ini, Saiful dalam blognya telah melahirkan rasa bimbang diatas keselamatan beliau menjelangnya perbicaraan kes yang membabitkan Anwar pada 3 November yang akan datang.

Beliau juga mendakwa ketakutan ini kerana tidak mahu terjadi kes yang sama seperti apa yang berlaku kepada Teoh Beng Hock.

Kenyataan Saiful ini bukan saja mengundang keraguan malah menimbulkan prejudis apabila beliau mulai muncul tatkala akan diadakan PRK Bagan Pinang.

Namun begitu samada kehadiran beliau akan menjejaskan peluang kemenangan Pakatan Rakyat dalam mana-mana pilihan raya sudah terbukti sebelum ini.

Walaupun beliau bersumpah mubahalah menjelangnya PRK Parlimen Permatang Pauh dengan didokong oleh pemimpin Barisan Nasional ternyata rakyat sudah dapat membezakan antara sumpah beliau dan sumpah keramat yang dibuktikan oleh pengundi Parlimen tersebut.

Wujudnya Saiful menjelang PRK Bagan Pinang kali ini adalah umpama wujudnya Ezam Mohd Noor semasa PRK Permatang Pauh.Begitu juga dengan munculnya Tun Mahathir semasa PRK Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

Namun begitu keputusannya telah terbukti bahawa rakyat tidak menerima kehadiran pelakon menjelang pilihan raya seperti ini.

Iskandar Malaysia: ‘Rumah siap pahat berbunyi’

Menjadi perkara biasa setiap kali sesuatu pembangunan, perumahan mahupun apa jua projek yang dikatakan disiapkan akan timbul masalah seperti tidak puas hati sesetengah pihak.

Seperti kata pepatah, ‘rumah siap pahat masih berbunyi’ masih tidak dapat dinafikan dan ia turut berlaku terhadap projek mega, Iskandar Malaysia yang terletak di Johor.

Ikuti temu bual penulis dengan beberapa penduduk di negeri ini mengenai Iskandar Malaysia dan penjelasan turut diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Harun Johari, berhubung perkara ini.

Iskandar Malaysia adalah sebuah zon ekonomi unggul, terletak di Johor yang merangkumi segi tiga logistik bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (kawasan utara) hingga ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (kawasan barat daya) dan Pelabuhan Johor, Pasir Gudang (kawasan Tenggara).

Meliputi kawasan seluas 2.217 kilometer persegi, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dan dijangka menjadi sebuah metropolis yang kukuh, mapan dan bertaraf antarabangsa.

Dikenali sebagai Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) dan kemudiannya sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), kini ia dinamakan Iskandar Malaysia yang Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menjadi badan berkanun Persekutuan yang diberi kuasa untuk merancang, mempromosi, memproses, merangsang dan menjalankan usaha-usaha pembangunan Iskandar Malaysia.

Menjadi pusat penumpuan kepada pembangunan berterusan, pemeliharaan alam sekitar dan pengagihan keuntungan yang saksama kepada masyarakat setempat, ia juga telah dikenal pasti sebagai pusat pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Namun, dalam mengendalikan pelan pembangunan strategik dan jangka panjang untuk pembangunan berstruktur hartanah terbesar dalam negara ini, masih terdengar suara-suara sumbang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaannya dan masing-masing memberikan pendapat yang berbeza.

Setelah tiga tahun dilancarkan secara rasmi bermula akhir 2006, tidak kurang juga ada yang mengatakan keseluruhan proses ke arah penubuhan Iskandar Malaysia ini dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, juga pernah melahirkan rasa terkilannya terhadap projek pembangunan Iskandar Malaysia yang didakwanya masih tidak memberi keutamaan kepada penduduk Bandaraya Johor Bahru.

Beliau juga sebelum ini pernah meluahkan kekecewaannya kerana pembangunan di Iskandar Malaysia dikatakan tidak menampakkan faedah kepada golongan peniaga kecil. Projek mega Iskandar Malaysia ini dikatakan terlalu mengutamakan pelabur asing sehingga mengetepikan usahawan tempatan.

Ada juga yang mengatakan kawasan perumahan yang dibina sekitar Nusajaya itu pula dimiliki ramai rakyat negara luar kerana harganya yang tidak mampu dimiliki rakyat tempatan. Difahamkan ada kawasan perumahan banglo di Nusajaya yang dijual dengan harga sehingga mencecah RM2.8 juta itu, 90 peratus telah dibeli kebanyakan warga asing.

Berdasarkan tinjauan, kebanyakan penduduk tempatan Johor sehingga kini ramai yang hanya sekadar maklum bahawa Iskandar Malaysia adalah satu projek yang besar, tetapi masih tertanya-tanya apa yang ada pada projek tersebut.

Kurangnya pendedahan terutama terhadap penduduk bandar raya Johor Bahru sendiri dipersetujui ramai pihak. Malah, ramai juga yang beranggapan Iskandar Malaysia itu hanya terletak di kawasan Nusajaya sahaja, walhal ia meliputi lima zon di Johor termasuk Pusat Bandaraya Johor Bahru, Pelabuhan Pasir Gudang, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Penulis sendiri sebagai rakyat negeri Johor mengakui tidak tahu sepenuhnya projek yang dijalankan di bawah Iskandar Malaysia walaupun sudah tiga tahun dijalankan melainkan hanya selepas melawat salah satu kawasannya di Nusajaya.

Apa yang diharapkan agar segala pandangan dan komen orang ramai diambil kira dalam menyumbang kepada pembangunan yang lebih mapan di Iskandar Malaysia selain menjamin kesejahteraan penduduk negeri Johor khususnya.

Pengundi kecewa Ibrahim Ali khianati amanah

Tanpa lambang bulan sudah pasti Datuk Ibrahim Ali tidak akan merasai kedudukan seperti sekarang, sebagai anggota parlimen Pasir Mas, namun beliau melupakan segala-galanya dan 'menggigit tangan yang menyuapkannya makanan'.

Ini kerana sokongan padu penyokong PAS dan Pakatan Rakyat membolehkan merasai kembali jawatan itu selepas menang di atas tiket Semangat 46 pada 1990.

Namun Ibrahim melupakan segala jasa dan keringat ahli dan penyokong PAS yang bekerja keras memenangkannya pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008. Kata orang tua-tua, ibarat kacang sudah lupakan kulit.

Pengundi di Pasir Mas ketika ditemui menyokong penuh saranan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Ibrahim meletak jawatan kerana telah mengkhianati amanah rakyat.

Pesara kerajaan, Mohamad Osman, 67 dari Kampung Kasa berkata, hanya pemimpin yang tiada maruah sahaja sanggup mempertahankan kedudukannya biar pun dicemuh seluruh pengundi.

"Tindakan Ibrahim sekarang seolah-olah membunuh karier politik sendiri. Selepas ini siapa lagi yang mempercayai pemimpin seperti itu," katanya di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan hari ini sekali lagi mengulangi pendiriannya supaya Ibrahim menggosongkan kerusi parlimen Pasir Mas memandangkan sikap dan tindak tanduknya bertentangan dengan perjuangan PAS.

"Saya akan terus mendesaknya melepaskan jawatan wakil rakyat di Pasir Mas kerana dia bertanding atas tiket PAS. Namun kini menentang menentang dasar PAS dan kerajaan negeri.

"Wakil Rakyat macam ni orang tak boleh terima sebab tak ada pendirian dan prinsip perjuangan," katanya ketika ditemui media di majlis Hari Raya Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV hari ini.

Ekoran desakan Tuan Guru Nik Aziz sebelum ini, Ibrahim mahu Menteri Besar Kelantan itu meletak jawatan dengan dakwaan gagal membawa kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, rakyat di Pasir Mas telah meluahkan rasa kecewa kerana anggota parlimen yang mereka pilih telah menggadai prinsip perjuangan.

Ibrahim merupakan bekas Ketua Bahagian Umno Pasir Mas telah dilucut keahlian seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum 2004. Manakala pada pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir pada 2005 sekali lagi beliau bertanding di tiket Bebas namun hilang deposit.

Sunday, September 27, 2009

Nik Aziz jawab cabaran Ibrahim Ali

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cabaran ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, supaya beliau meletakkan jawatan sebagai isu lama yang tidak perlu dilayan.

Mursyidul Am PAS itu berkata rakyat boleh menilai sendiri apa yang telah dilakukannya sepanjang mentadbir Kelantan selepas memenangi pilihan raya umum 1990.

Banyak perubahan dari segi pembangunan telah dilaksanakan di Kelantan, termasuk di daerah-daerah terpencil seperti Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli, katanya kepada pemberita di majlis Aidilfitri PAS di perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke-1V, di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Ibrahim semalam yang mencabarnya meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas sebagai menteri besar dan juga atas alasan beliau sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin muda.

Cabaran Ibrahim itu adalah sebagai susulan kepada desakan menteri besar itu supaya ahli parlimen Pasir Mas itu melepaskan jawatan ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu. Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Bebas atas tiket PAS.

Nik Abdul Aziz berkata faktor tua bukan menjadi penghalang seseorang daripada menjadi pemimpin politik.

"Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" katanya.

Nik Aziz gesa Ibrahim letak jawatan

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendirian Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini bahawa Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali perlu meletakkan jawatannya susulan dengan tindakan yang dilihat tidak sehaluan dengan parti tersebut.

“Saya minta dia keluar...yang melantik dia (bertanding di Pasir Mas) saya dengan bendera Pas. Bila (Pas) kawasan Pasir Mas minta dia undur, dia kena berundur. Duit yang dia makan tu tidak betul, sembahyang Tuhan tak terima,” katanya.

Sebelum ini, menjawab cabaran Nik Aziz, Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Pasir Mas menyatakan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Mas kecuali jika diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua UMNO Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam UMNO seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004.

Ibrahim turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat Ketika ditemui di kediamannya semalam, Menteri Besar Kelantan itu berkata, dalam keadaan kini, tiada guna Ibrahim mengekalkan jawatan itu jika masyarakat memandang lekeh kepada beliau.

“Lebih baik dia letak jawatan... perut kenyang tapi masyarakat pandang lekeh. Orang Pas yang undi dia dan memenangkan dia, hanya sedikit orang UMNO mengundi dia,” katanya.

Selain itu katanya, beliau tidak peduli sekiranya Ibrahim kembali bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon bebas dan Pas akan tetap meletakkan calon dalam pilihan raya tersebut.

Terdahulu, Nik Aziz berkata, beliau tidak bimbang jika Ibrahim meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Saturday, September 26, 2009

Kugan: Gagal serah petisyen pada istana

Usaha untuk menyerahkan petisyen kepada Istana Negara hari ini untuk mendesak supaya dipercepatkan siasatan terhadap kes kematian tahanan A Kugan, gagal apabila pihak polis enggan membenarkan lebih daripada tiga orang menemui pegawai istana.

Kira-kira 20 orang, termasuk anggota keluarga serta penyokong mendiang Kugan, yang diketuai ahli parlimen Gobind Singh Deo (Puchong-DAP) dan S Manikavasagam (Kapar-PKR), meninggalkan istana pada jam 11.30 pagi dengan rasa kecewa.

"Anggota keluarga sahaja sudah tiga orang... bagaimana dengan peguam mereka dan ahli-ahli parlimen yang datang bersama mereka?

"Kita juga mahu menemui pegawai istana apabila petisyen itu diserahkan," kata Gobind.

Kugan, 23, mati semasa dalam tahanan polis di balai Taipan di USJ selepas ditahan untuk disoalsiasat berhubung beberapa kes kecurian kereta mewah.


Mahathir: Jika saya Isa Samad...

Mantan presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan bekas naib presiden Tan Sri Isa Samad supaya tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

"Jika saya (Tan Sri) Isa, saya akan menggesa parti supaya jangan mencalonkan saya. Kemudian saya akan bekerja keras berkempen untuk calon lain yang dipilih. Dengan itu, ia akan melonjakkan reputasinya.

"Tetapi di Malaysia, budaya seumpama itu tidak wujud," kata Dr Mahathir kepada pemberita ketika ditemui di majlis hari terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan.

Mengenai tindakan akar umbi Umno di situ yang tetap berkeras mahu Isa bertanding, Dr Mahathir berkata, mereka tidak mengambil kira kepentingan parti secara keseluruhannya.

Sebaliknya, kata beliau, mereka berpandangan singkat dan hanya melihat kepentingannya dan kepentingan bahagian sahaja.

"Jika parti meletakkan calon yang tidak bersih, maka keseluruhan parti akan dikutuk," katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun penting bagi Umno menang di Bagan Pinang, tetapi calon yang tercemar akan memalukan parti dan kerajaan BN.

MIC Bergolak Lagi

Barisan Nasional berdepan dengan satu lagi kemelut dalaman setelah parti komponen MIC kembali bergolak walaupun pemilihan parti berkenaan selesai 12 September lalu.

Terbaru, tujuh calon yang bertanding termasuk seorang calon jawatan Naib Presiden mahu keputusan pemilihan MIC diisytihar sebagai tidak sah.

Mereka mengemukakan empat surat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan sejak 18 September lalu dan mahu satu pemilihan baru diadakan.

Untuk rekod aduan sebegini pernah dikemukakan pada masa lalu namun tiada pemilihan baru diadakan.

Kumpulan berkenaan menggariskan sekurang-kurangnya enam pelanggaran utama peraturan pemilihan termasuk campur tangan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Samy Vellu dikatakan mengatasi keputusan Jawatankuasa Pemilihan melarang para pewakilan daripada membawa telefon bimbit masing-masing ke kawasan pembuangan undi.

Lima pelanggaran peraturan lain yang dikemukakan termasuklah:

- Calon Pasukan Presiden berkempen selepas tempoh larangan berkempen 12 tengah hari 11 Septembar dikuatkuasakan. Barisan calon Pasukan Presiden didakwa mengadakan sidang media berunsur kempen pada jam 3 petang 11 September di Ibu Pejabat MIC;

- Mendakwa akhbar milik keluarga Presiden MIC, Tamil Nesan menyiarkan rencana dan iklan-iklan yang berunsur kempen, menyokong dan memihak calon Pasukan Presiden pada hari pemilihan 12 September;

- Akhbar itu didakwa diedarkan secara percuma kepada perwakilan di Dewan Merdeka, PWTC pada pagi hari pemilihan;

- Melarang calon daripada mencatatkan pengiraan undi sedangkan ia dibenarkan sehari sebelum itu; dan

- Kira-kira 90 peratus pekerja di dewan pengiraan undi merupakan kakitangan Ibu Pejabat MIC, Koperasi Pekerja Jaya dan Institut Pembangunan Pendidikan Maju, bukannya pekerja bebas kalangan pelajar universiti yang dijanjikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan.

Proses pembuangan undi yang di sertai 1,460 perwakilan yang meyaksikan hampir 90 peratus calon Pasukan Presiden memenangi pemilihan berkenaan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun empat calon bukan Pasukan Presiden berjaya memenangi kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Pemilihan berkenaan menyaksikan jawatan Timbalan Presiden dimenangi Datuk G. Palanivel yang mengekalkan jawatannya buat penggal kedua berturut-turut.

Manakala Naib Presiden disandang oleh Datuk Dr. S. Subramaniam, Datuk M. Saravanan dan Datuk S.K. Devamany.

Dalam satu sidang media, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pelanggaran Pemilihan MIC P. Balasubramaniam yang juga merupakan calon Naib Presiden berkata Jawatankuasa Pemilihan diminta membuat keputusan mengisytiharkan keputusan pemilihan lalu sebagai tidak sah.

Katanya kumpulan berkenaan juga mahu satu pemilihan baru diadakan. Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh lima daripada tujuh calon yang mengemukakan aduan iaitu Subramaniam, Saaran Nadarajan, R. Anbalagan, Ananthan yang turut dikenali sebagai Kajang Ananthan dan R. Subramaniam.

Kumpulan berkenaan juga menganggap CWC yang bakal mengadakan mesyuarat pertamanya selepas pemilihan itu Selasa ini sebagai tidak sah.

Mengulas mengenai isu ini Naib Pengerusi DAP Selangor Charles Santiago berkata ia dengan jelas membuktikan krisis dalaman parti berkenaan tidak pernah tamat malah akan berlanjutan.

Menurutnya Samy Vellu juga berdepan dengan satu tamparan hebat kerana desakan ini secara langsung menggugat kredibilitinya sebagai presiden parti.

“Tetapi kalau ada kebanyakan pemimpin yang telah kalah bersatu dan mendesak mesti diadakan satu lagi pemilihan untuk memilih satu pimpinan yang boleh dipercayai dan ada keyakinan maka ini bermaksud krisis MIC tidak akan habis dan akan berlarutan.

“Kewibawaan Presiden MIC Samy Vellu akan menjadi lebih teruk. Orang tidak akan mempercayai dia dan setelah Najib (Perdana Menteri) mengatakan Umno akan berjumpa Samy untuk membincangkan proses penukaran pemimpin di MIC, ia telah memberi satu pukulan hebat kepada Samy Vellu,” katanya ketika dihubungi TV Antara.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan isu desakan mengadakan pemilihan baru ini didalangi Umno Barisan Nasional.

Katanya campurtangan Samy Vellu dalam pemilihan 12 September lalu jelas dan ia tidak dapat dinafikan setelah hampir 90 peratus calon Pasukan Presiden memenangi pemilihan berkenaan.

“Itu memang ada, campur tangan secara langsung ia adalah kenyataan sebenar tetapi apa yang malang cara MIC dikawal oleh Samy pegangannya begitu kuat dan kebanyakan dari penyokong-penyokong beliau telah mengambil kontrak kerajaan melalui Samy Vellu maka mereka terpaksa menyokong calon beliau,” katanya.

Tiga daripada empat surat yang dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan mendesak keputusan 12 September diisytihar tidak sah.

Sepucuk surat lagi meminta pemilihan baru diadakan selain mengisytihar pemilihan sebagai tidak sah.

Surat-surat berkenaan telah dihantar pada 18 September, 23 September dan 25 September.

Dalam pada itu, peguam jawatankuasa tersebut. S. Saraswathy memberitahu, Perlembagaan MIC membenarkan kes mereka dibawa ke mahkamah.

Bagaimanapun Akta Pertubuhan 1966 tidak menyediakan peruntukan sedemikian. Sehubungan itu pihaknya akan meneliti ruang-ruang lain yang sesuai untuk mengambil tindakan susulan.

Masalah sampah Alor Setar selesai November-MB

ALOR SETAR, 26 Sept: Masalah longgokkan sampah terutama di kawasan perumahan di sekitar bandaraya ini, dijangka dapat diselesaikan awal November ini selepas sebuah syarikat swasta mengambil alih kerja-kerja mengangkut sisa buangan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, masalah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan, kerana syarikat terbabit yang sepatutnya mengambil alih tugas daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), terpaksa menangguhkan kerja mereka sejak 1 Sept lalu.

"Ini berikutan dari permintaan dari Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu menyemak semula terma-terma berkaitan nasib pekerja MBAS selepas penswastaan kerja-kerja mengangkut sampah.

"Sekarang lori-lori mereka sudah sampai, masalah ini kena selesai betul-betul supaya tidak jadi masalah berlarutan dan kita harap ia selesai pada November ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi beliau di Seri Mentaloon, di sini.

Ustaz Azizan memberi respon terhadap laporan media yang mendakwa bandar raya Alor Setar semakin kotor kerana terdapat banyak longgokan sampah yang tidak diangkut sehingga menyebabkan bau busuk. Menurutnya lagi, masalah berkenaan bukanlah perkara baru dan bukanlah salah kerajaan negeri.

"Dari segi pentadbiran, kita tak boleh buat apa-apa keran ini adalah permintaan dari Ceupacs sendiri. Kita menyedari tentang ketidakselesaan rakyat. Saya berasa dukacita dan memohon maaf kepada orang ramai yang berasa kurang selesa," ujarnya lagi

Mahfuz jumpa MB selesai masalah air Pokok Sena

POKOK SENA, 26 Sept: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar akan bertemu Menteri Besar Kedah bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air yang dialami penduduk di sini.

Pertemuan itu juga bagi memohon kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sekiranya melihat kemungkinan paip sedia ada perlu diganti.

"Masalah ini sudah ada dalam pengetahuan kerajaan negeri, saya akan jumpa Menteri Besar minta selesaikan segera masalah ni, mungkin perlu keluarkan peruntukan ganti paip lama itu." katanya ketika dihubungi.

Sebagai ahli parlimen bertanggungjawab, beliau juga memaklumkan telah berbincang dengan Pegawai Daerah meminta lori yamg menghantar bekalan air diperbanyakkan untuk dihantar sehingga ke hujung kampung.

"Saya dah berbincang dengan DO (Pegawai Daerah) Pokok Sena, minta perbanyak lagi lori masuk hantar air sampai ke dalam," katanya lagi.

Kira- kira 5,000 penduduk membabitkan enam buah kampung di daerah ini dilaporkan terputus bekalan air bersih sejak 10 hari lalu.

Antara kampung itu Kampung Bukit, Batu 20, Hujung Bendang, Batu 18 dan Bendang Baru

Penduduk juga telah mengemukakan beberapa aduan kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) di Kuala Nerang dan Alor Setar namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak terbabit.

Mahfuz dalam pada itu turut mengakui JBA lambat betindak sehingga masalah sejak setahun lalu itu semakin serius dua minggu kebelakangan ini.

Ekoran kelambatan itu, ada di kalangan penduduk terpaksa menggali telaga sendiri dan menggunakan air yang kurang bersih.

"Jabatan Bekalan Air pun agak perlahan dalam tindakan mereka, saya akan jumpa mereka dan mintak pusatkan penghantaran lori air di masjid atau surau, senang sikit masyarakat kampung datang angkut.

"Mereka ada masalah dengan sistem paip yang agak lama, tekanan pun rendah dan tidak boleh nak lepas air dengan tekanan kuat, takut paip pulak pecah," katanya.

Friday, September 25, 2009

Undi Pos : AMK Sanggah Kenyataan SPR, Cadang Anjur Forum Rakyat Libatkan Semua Pihak

Kenyataan Media
25 September 2009

Angkatan Muda Keadilan Malaysia kesal dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa sistem undi pos akan diteruskan selagi adanya peruntukan undang-undang sedemikian, sebagaimana yang dilaporkan oleh media hari ini.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia melihat kenyataan ini sebagai mencerminkan kedangkalan pemahaman mengenai tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir dan malah matlamat dan fungsi pilihanraya.

Pilihanraya diadakan untuk membolehkan rakyat memilih dengan bebas, tanpa tekanan yang tidak sewajarnya wakil mereka bagi membentuk kerajaan rakyat. Kerahsiaan undi adalah satu faktor asasi dalam proses pemilihan ini.

Tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir adalah bagi membolehkan rakyat yang tidak bermastautin di dalam satu-satu bahagian pilihanraya menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Antara mereka yang tidak bermastautin ini ialah anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan atau di medan pertempuran atau mereka yang menjalankan tugas-tugas kritikal lain semasa hari mengundi.

Sudah tentu anggota tentera yang bermastautin di dalam kem atau di dalam sesuatu bahagian pilihanraya sesama keadaan aman, apatah lagi suami atau isteri mereka tidak dimaksudkan sebagai pengundi tidak hadir oleh penggubal Perlembagaan dan undang-undang.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia memandang berat kegagalan atau mungkin keengganan untuk memahami niat penggubal undang-undang ini. Prinsip yang harus dipatuhi ialah “the intention of the legislator is law”.

Tindakan memaksa pengundi dari kalangan anggota tentera dan suami atau isteri mereka menjadi pengundi tidak hadir dan menafikan hak mereka untuk mengundi sama seperti rakyat Malaysia lain mencabul Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap rakyat adalah samarata dan tidak boleh didiskriminasi atas sebarang faktor termasuk profesion mereka.

Justeru Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengajak semua pihak yang terlibat dan prihatin dengan pelaksanaan demokrasi tulen di Malaysia untuk mengadakan Forum Rakyat bagi membincangkan secara khusus persoalan undi pos atau pengundi tidak hadir ini. Forum Rakyat ini adalah penting bagi merungkai segala permasalahan dan kelemahan yang wujud bagi memastikan setiap undi adalah benar-benar bebas dan berkesan dalam menzahirkan kehendak sebenar rakyat.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan Forum Rakyat tersebut dengan menjemput semua pihak yang terlibat, termasuk wakil SPR, parti-parti politik, wakil Angkatan Tentera Malaysia, wakil Polis DiRaja Malaysia, organisasi masyarakat (NGO) dan rakyat yang prihatin.

Sudah tiba masanya proses dan sistem pilihanraya berkenaan pengundi tidak hadir dikaji semula dengan jujur dan dilakukan pindaan-pindaan perlu. Ini untuk mengelakkan anggota tentera, polis dan semua pengundi tidak hadir daripada berada di dalam keadaan serba salah dan tidak ada kebebasan untuk membuat pilihan.

Keengganan untuk membuat pindaan-pindaan tersebut akan menyebabkan semua pihak terus mempunyai persepsi bahawa pihak pemerintah UMNO-Barisan Nasional mempunyai agenda tersembunyi. Malah selama ini rakyat menganggap pengundi tidak hadir ini adalah faktor penentu yang memberikan kemenangan kepada BN di dalam pilihanraya secara tidak adil.

Persepsi wujud penipuan di dalam proses pilihanraya ini akan menjejaskan wibawa kerajaan, merosakkan amalan demokrasi sehingga boleh menyebabkan demokrasi di Malaysia menjadi demokrasi tempang dan malah menghilangkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi dan negara ini sendiri.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan ia adalah satu pengkhianatan terhadap negara, pengkhianatan terhadap usaha gigih dan pengorbanan pengasas negara ini dan para pejuang kemerdekaan, pengkhianatan terhadap anggota keselamatan yang menggadaikan nyawa untuk keselamatan negara dan pengkhianatan kepada rakyat sendiri.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Ketua
Angkatan Muda Keadilan (AMK)
MALAYSIA
www.shamsuliskandar.com

Penduduk Pokok Sena Terputus Bekalan Air

POKOK SENA, 25 Sept (Bernama) - Kira- kira 5,000 penduduk membabitkan enam buah kampung di daerah ini dilaporkan terputus bekalan air bersih sejak 10 hari lalu.

Antara kampung itu Kampung Bukit, Batu 20, Hujung Bendang, Batu 18 dan Bendang Baru.

Pemilik tempat mencuci kereta, Mohamad Ismail, 39, mendakwa beliau kerugian hampir RM4,000 kerana premisnya tidak dapat menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan.

"Musim raya biasanya ramai pelanggan datang untuk mencuci kereta tetapi pada tahun ini, saya terpaksa tutup kedai," katanya.

Menurut Mohamad, masalah gangguan bekalan air bermula sejak setahun lalu tetapi menjadi semakin serius sejak dua minggu lepas.

Beliau berkata, beberapa aduan telah dibuat kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) di Kuala Nerang dan Alor Setar namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak terbabit.

"Macam-macam alasan yang diberikan setiap kali kami mengemukakan aduan," katanya.

Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Baru, Ramli Ahmad Bakar, berkata penduduk terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapat sumber air seperti menggali telaga dan menggunakan air perigi yang kurang bersih.

Katanya tindakan itu terpaksa dilakukan kerana lori yang menghantar bekalan air tidak masuk ke semua kampung yang terlibat dan hanya sampai ke kawasan tertentu sahaja.

Kontraktor PKFZ, konsultan disaman RM920 juta


Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) memfailkan saman RM920 juta terhadap kontraktor siap guna untuk Zon Pelabuhan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan konsultan yang dilantik bagi projek itu BTA Architect, dalam aspek pembangunan utama dan perjanjian tambahan yang ditandatangani antara Februari 2003 dan November 2006.

Pengerusi LPK Datuk Lee Hwa Beng memfailkan saman itu sendiri di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Shah Alam pagi ini.

Bagaimanapun beliau enggan memberikan salinan kedua-dua saman itu kepada media.

Dalam kenyataan media beliau, Lee berkata saman itu difailkan untuk relif termasuk antara lain pembatalan semua perjanjian pembangunan dan satu pengisytiharan bahawa KDSB hanya layak dibayar dengan nilai kerja yang munasabah dilakukan dengan sewajarnya.

Alternatifnya, beliau meminta satu pengisytiharan bahawa semua notis pembayaran yang dikeluarkan oleh KDSB adalah batal dan tidak sah.

Lee juga secara alternatif meminta satu pengisytiharan bahawa KDSB tidak layak, dan bahawa PKA tidak diwajibkan membayar KDSB tuntutan berjumlah RM836,758,459.92 di mana KDSB telah lakukan untuk kerja-kerja perparitan dan membekalkan air, permulaan bayaran profesional, masing-masing bagi pelbagai kerja di bawah perjanjian pembangunan itu.

Alternatif, beliau meminta satu perintah bahawa kerja-kerja yang dijalankan oleh KDSB dikaji semula oleh sebuah konsultan bebas yang dilantik mahkamah dan bayaran permulaan dan profesional dinilai oleh mahkamah berkenaan.

Lee juga meminta faedah, ganti rugi umum dan kos mengenai satu asas indemniti dan ganti rugi kerana penipuan dan salah tafsiran kecuaian, faedah, kos, ganti rugi disebabkan bersubahat dan relief lain yang difikirkan sesuai dan wajar oleh mahkamah.

Menurut kenyataan media, Lee berkata LPK juga memfailkan satu saman permulaan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, meminta satu pengisytiharan bahawa kenaikan dalam kadar faedah dari lima peratus kepada 7.5 peratus setahun berkaitan perjanjian tambahan untuk kerja-kerja tambahan pembangunan yang ditandatangani pada April 2006 adalah batal dan tidak sah.

Beliau berkata jumlah amaun yang dipertikaikan kini kira-kira RM1.64 bilion termasuk RM720 juta saman yang difailkan oleh LPK di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada 18 Sept.

"Lembaga LPK sedar dengan tugasnya untuk melakukan apa yang betul untuk lembaga pelabuhan itu dan menjalankan tugasnya dalam cara yang sesuai dan wajar," menurut kenyataan itu.

KDSB dilantik oleh LPK pada 2003 bagi membangunkan PKFZ di tapak seluas 405 hektar bersebelahan dengan Pelabuhan Utara di Klang.

Syarikat itu menjadi tumpuan baru-baru ini berikutan dakwaan mengenakan caj berlebihan terhadap LPK bagi projek PKFZ, menyebabkan lembaga tersebut dan projek berkenaan menanggung kerugian. BERNAMA

'Undi pos cabuli hak perlembagaan'

Angkatan Muda PKR menyifatkan halangan sesetengah pemilih pos membuang undi di tempat awam sebagai mencanggahi Perlembagaan Persekutuan dan menggesa ia dibahaskan secara serius.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan memaksa anggota tentera atau pasangan mereka mengundi seperti pemilih lain mencabul Perkara 8 perlembagaan yang menyatakan setiap rakyat haruslah dilayan sama rata dan tanpa diskriminasi.

Isu ini wajar dikaji semula dengan jujur dan peraturan pilihan raya dipinda untuk mengelakkan anggota tentera, polis dan semua pengundi tidak hadir daripada "perasaan serba salah dan tidak bebas memilih", tambahnya.

"Keengganan untuk membuat pindaan-pindaan tersebut akan menyebabkan semua pihak terus mempunyai persepsi bahawa pihak pemerintah Umno-BN mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa sistem undi pos akan dikekalkan seperti diperuntukkan dalam undang-undang.

Pemuda PAS minggu lalu menyerahkan memorandum kepada SPR bagi membolehkan calonnya pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan berkempen di kem-kem askar dan balai-balai polis.

Dengan sokongan Angkatan Muda PKR dan Pemuda DAP, ia juga turut membantah keras penggunaan Borang 2 – yang merekodkan maklumat peribadi pemilih pos dan nombor siri kertas undi.

Daripada 13,664 pemilih berdaftar di DUN tersebut yang layak membuang undi pada 11 Oktober ini, 4,604 terdiri daripada pemilih pos.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shamsul Iskandar berkata kenyataan Wan Ahmad itu "mencerminkan kedangkalan pemahaman" mengenai peruntukan untuk pengundi tidak hadir dan matlamat asas pilihan raya.

"Pilihanraya diadakan untuk membolehkan rakyat memilih dengan bebas, tanpa tekanan yang tidak sewajarnya bagi membentuk kerajaan rakyat. Kerahsiaan undi adalah satu faktor asasi dalam proses pemilihan ini," katanya.

"Tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir adalah bagi membolehkan rakyat yang tidak bermastautin di dalam satu-satu bahagian pilihanraya menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih."

Angkatan Muda PKR menyeru semua pihak menyertai "forum rakyat" bagi membincangkan secara khusus persoalan undi pos atau pengundi tidak hadir ini.

Forum ini penting bagi merungkai segala permasalahan dan kelemahan bagi memastikan setiap undi benar-benar bebas dan berkesan dalam menzahirkan kehendak sebenar rakyat, tambah Shamsul.

Sayap penting PKR itu bercadang mengambil inisiatif untuk menganjurkan forum tersebut dengan menjemput semua pihak yang terlibat, termasuk wakil SPR, parti-parti politik, wakil Angkatan Tentera Malaysia dan wakil polis.

Umno tidak belajar dari pengalaman - Dr M

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Umno menunjukkan kepada dunia bahawa ahli-ahlinya tidak belajar dari pengalaman apabila terus mendesak supaya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kritikan Dr Mahathir yang semakin lantang menjadikan laluan Isa semakin sukar untuk menjadi calon BN di Bagan Pinang walaupun percubaan demi percubaan dibuat untuk mencalonkan bekas Naib Presiden Umno itu dalam pilihan raya kecil tersebut yang akan diadakan 11 Oktober ini.

"Kita tak banyak belajar, sebelum ini kita meletakkan seorang pembohong menjadi calon, yang dipecat oleh Majlis Peguam, yang menggunakan duit pelanggannya.

"Jika kita meletakkan calon seperti itu, sudah pasti kita akan kalah," Malaysian Insider memetik bekas Presiden Umno itu berkata.

Dr Mahathir juga membidas para pemimpin Umno di Telok Kemang yang mengungkit bahawa beliau juga pernah diusir dari Umno oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman tetapi kemudiannya diterima semula ke dalam Umno.

"Saya diusir bukan kerana rasuah atau politik wang tetapi kerana perbezaan pendapat dengannya (Tunku).

"Bila saya kembali (ke dalam Umno), ia kerana pandangan saya diterima. Saya tidak pernah mencuri wang," kata bekas Pengerusi BN itu.

Rabu lalu, Ketua Pemuda Umno bahagian Telok Kemang Mohd Faizal Ramli mempertahankan keputusan untuk menamakan Isa sebagai calon BN bagi pilihan raya tersebut.

Isa digantung keahliannya dalam Umno selama tiga tahun 2005 lalu kerana dituduh terlibat dalam politik wang ketika beliau muncul sebagai pemenang jawatan Naib Presiden dengan undi tertinggi pada pemilihan parti itu 2004 lalu, iaitu sebanyak 1,507 undi mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Timbalan Presiden Umno kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Beliau kini ialah Ketua Umno Bahagian Telok Kemang dan kawasan DUN Bagan Pinang berada dalam bahagian itu.

Isa sebelum ini menolak pandangan yang menyatakan beliau akan menjadi liabiliti kepada BN jika dicalonkan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

"Dalam pembangkang, hatta bekas banduan pun boleh bertanding," kata beliau yang dilihat merujuk kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya bukan penjenayah," tambah beliau.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilaporkan satu-satunya calon yang dikemukakan oleh Umno Telok Kemang kepada pucuk pimpin parti itu untuk dipertimbangkan sebagai calon BN dalam pilihan raya tersebut.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi dan 4,604 dari jumlah tersebut adalah pengundi pos.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, calon BN, Allahyarham Azman Mohd Nor memenangi kerusi tersebut dengan mendapat 6,430 undi mengalahkan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat 4,097 undi.

Pilihan raya kecil tersebut akan diadakan berikutan kematian Azman.

BN hanya memenangi kerusi Bagan Pinang dan Linggi dalam kawasan Parlimen Telok Kemang dalam pilihan raya umum lalu.-mna Kerusi Parlimen Telok Kemang, kerusi DUN Chuah dan kerusi DUN Port Dickson dimenangi oleh PKR manakala kerusi DUN Lukut dimenangi oleh DAP. Kemenangan BN di Bagan Pinang dan Linggi dipercayai berpunca dari undi pos. Linggi mempunyai 1037 undi pos.

Kesian Isa Samad

Dalam menentukan calon pilihan raya kecil Bagan Pinang, pucuk pimpinan UMNO (yang sekarang seolah-olah diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad) riuh-rendah tidak mahu Isa Samad menjadi calon. Bagi mereka, Isa telah tercemar dengan rasuah dan UMNO perlukan calon yang “bersih”. Wah, wah, wah! Begitu bersungguh-sungguh UMNO mahu banteras rasuah. Kesalahan politik wang dalam UMNO dianggap rasuah yang besar sedangkan rasuah sebenar yang melinatkan berbilion ringgit wang rakyat, mereka sanggup tutup sebelah mata.

Betullah bagi duit untuk perwakilan sewaktu pemilihan adalah satu kesalahan rasuah tetapi hal bagi duit kepada orang UMNO ini adalah satu budaya yang lazim dan diguna pakai oleh semua pemimpin UMNO. Ada perwakilan menerima RM500 dan ada juga yang menerima RM1,000; bergantung kepada jawatan yang dipertandingkan, dan siapa yang bertanding. Setahu saya, semua pemimpin Majlis Tertinggi UMNO, bila berkempen, mereka gunakan ejen-ejen tertentu untuk membeli undi atau meluluskan projek (yang sama juga taraf rasuahnya).

Jadi usahlah mereka berlagak “whiter than white” dan menganggap kesalahan Isa Samad itu besar benar. Kalaulah Isa semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dahulu mengambil rasuah berjuta ringgit, itu memang patut menjadi sebab mengapa beliau tidak boleh menjadi calon. Kalau itulah yang berlaku, mengapa pula beliau dikekalkan sebagai MB begitu lama? Malah kita dengar ramai MB dan bekas MB dari UMNO yang bergelumang dengan rasuah dan penyelewengan duit rakyat. Kalau setakat duit kempen pemilihan UMNO, rasanya tak ada seorang pun pemimpin UMNO yang berani bersumpah yang dia adalah “bersih”.

Usahlah guna alasan politik wang dalam UMNO semata-mata nak tunjuk kononnya UMNO ini parti yang bersih. Kalau benar-benar jujur dan mahu “bersih”, mengapa sibuk nak tangkap orang yang dedahkan maklumat tentang PKFZ? Sepatutnya siasatan dan tindakan diambil terhadap orang yang disyaki bersalah. Ini cuma nampak kuman di seberang laut, gajah di depan mata, pura-pura buta. Skandal PKFZ itu penyelewengannya berbilion-bilion ringgit. Masakan PKA dapat pinjaman mudah dari kerajaan dengan cara kelulusan retrospektif Cabinet sebanyak $4billion tanpa penglibatan orang atasan. Pinjaman yang pasti tidak terbayar kerana projek itu telah pun gagal . . Samakah rompakan wang rakyat itu dengan kesalahan beri duit kempen kepada perwakilan UMNO?

Kalau tak mahu Isa Samad bertanding, cakap saja kerana dia orang lama yang sudah tua dan tak sesuai lagi. Cakap saja UMNO mahu muka baru.. Saya harap pucuk pimpinan UMNO akan menghormati pilihan akar umbi, terutamanya UMNO Bahagian Teluk Kemang, yang benar-benar mahu Isa Samad bertanding. Beri peluang kepada Isa untuk bertanding.

-Zaid Ibrahim

Thursday, September 24, 2009

Apakah Pakatan Rakyat Bersedia Bentuk Kerajaan? - Zaid Ibrahim

Akhbar The Star telah memberi tumpuan dan perhatian rapi terhadap cadangan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang akan dibentangkan di Konvensyen Pakatan Rakyat pada hujung tahun ini. Penulis rencana itu Joceline Tan menulis panjang lebar dalam kolumnya dua hari sebelum hari raya. Ini diikuti pula oleh penulis bebas Baradan Kuppusamy tiga hari kemudian.

Mereka nampaknya mahu tahu sejauh manakah realistiknya harapan bahawa PAS, DAP dan KeADILan dapat mencari muafakat dalam hal-hal sensitif dan berbeza. Rakyat jelata pun ingin tahu sejauh mana Pakatan Rakyat sanggup melaksanakan janji-janji dalam manifesto mereka.

Memang usaha mencari kata sepakat ini sukar dan amat mencabar sekali. Saya sedar tentang perkara ini tetapi kita ada tanggung jawab kepada rakyat bahawa Pakatan ini bukan hanya sekadar pakatan membantu satu sama lain sewaktu pilihan raya sahaja.

Ianya juga bukan sekadar pakatan untuk mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional tanpa mampu melaksanakan bersama dasar-dasar yang kita janjikan dalam manifesto. Memang usaha ini sukar tetapi ini mesti kita cuba laksanakan, dan cuba mencari muafakat terlebih dahulu.

Sebagai contoh, bila Dewan Undangan Negeri Selangor mengadakan Select Committee on Competency, Accountability & Transparency (SELCAT) untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran negeri, sepatutnya PAS menyokong usaha ini.

Kalau PAS menyokong, mengapa pemimpin PAS Selangor Hassan Ali dibiarkan mencabar badan ini yang dipengurusikan oleh Speaker Dewan? Apa guna PAS berjanji dalam manifestonya untuk menjadi sebuah kerajaan yang telus, yang mahu memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA), yang mahu menggubal undang-undang baru Hak Mendapatkan maklumat (Freedom of Information Act), jika usaha murni awal SELCAT di Selangor telah pun disanggah dan dicabar oleh PAS.

Berhubung cadangan menggubal Akta Hak Mendapatkan Maklumat yang sememangnya terkandung dalam manifesto parti-parti Pakatan Rakyat pada tahun 2008, pihak yang sudah pun menguasai kerajaan negeri sepatutnya mengorak langkah ke arah pelaksanaan usaha ini. Maksud saya, KeADILan yang menerajui Selangor, PAS yang memimpin Kelantan dan Kedah serta DAP di Pulau Pinang, sepatutnya dapat melakukan sesuatu ke arah menjayakan hasrat ini. Tak payah tunggu nak sampai ke Putrajaya.

Untuk menjayakan undang-undang ini, mungkin masih perlu hal-hal tertentu terus diklasifikasikan sebagai “sulit” tetapi inilah masanya kita buka rahsia-rahsia kerajaan selama ini supaya rakyat dapat maklumat yang akan membawa kepada pentadbiran yang lebih telus dan kurang rasuah.

Kita harus terima hakikat bahawa kerajaan yang terbuka akan memberi peluang yang lebih adil kepada rakyat. Khalid Ibrahim di Selangor dan Husam Musa di Kelantan telah pun membuat kenyataan terbuka tentang kesedian mereka melaksanakan dasar ini, tetapi sampai sekarang belum tercapai hasrat itu.

Itulah beza antara janji dan pelaksanaan. Janji mudah dilafazkan tetapi melaksanakannya memerlukan pendirian dan iltizam politik yang kuat. Inilah cabaran sebenar parti-parti dalam Pakatan.

PAS misalnya telah sanggup menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara. Tetapi bagaimana pendiriannya dengan kebebasan beragama? PAS berjanji mahu memghapuskan akta-akta zalim seperti ISA dan OSA, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan sebagainya. PAS juga berjanji akan menghormati hak asasi maanusia.

Tetapi Pemuda PAS Terengganu masih lagi mahu “menangkap dan memberi nasihat” kapada anak-anak muda yang disyaki berkhalwat dengan menggunakan sukarelawan polis agama atau “moral police” sendiri.

Nampaknya mereka rasa tangkapan yang dibuat oleh pegawai bertauliah yang diberi kuasa oleh majlis agama negeri sekarang ini masih tak cukup. Pemuda PAS juga mahu mengharamkan konsert itu dan ini. Seolah-olah bagi Pemuda PAS, usaha menentang rasuah, kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan menabur api perkauman itu kurang penting berbanding usaha memastikan anak-anak muda yang baru belajar bercinta dan ingin bebas menonton hiburan disekat daripada menikmati sedikit kebebasan itu.


Rakyat ingin tahu di manakah garis panduan kebebasan yang dijanjikan dalam negara demokrasi pimpinan Pakatan Rakyat dengan dasar PAS mengenai hal-hal Islam dan bukan Islam, termasuk kebebasan individu yang sudah tentunya terhad mengikut tafsiran yang rigid. Rakyat juga ingin tahu tentang jaminan kebebasan Islam – yang dijanjikan dan yang diamalkan.

Ini kerana kebebasan dan kreativiti Islam di zaman keagungannya dahulu terkenal di seluruh dunia, tetapi yang menghairankan ialah mengapa zaman ini kebebasan Islam semakin sempit dan tertekan ?. Parti-parti dalam Pakatan harus sedia menjawab persoalan ini sebelum bermulanya Konvensyen Pakatan pada Disember depan.

Anwar: SPR Harus Baiki Sistem Undi Pos

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Suruhanjaya Pilihanraya membersihkan senarai pengundi pos di Bagan Pinang dan memperbetulkan kaedah pengundian Pos yang dilaksanakan oleh SPR yang dilihat tidak telus dan tidak adil.

Beliau melahirkan rasa tidak senang dengan kaedah mencurigakan yang digunakan oleh SPR dalam mengendalikan pengundian pos.

Kata Anwar, sekiranya pengundian pos dijalankan secara telus dan adil, Pakatan Rakyat dapat memberikan saingan yang sengit terhadap Barisan Nasional walau siapa pun calon yang diletakan oleh parti perkauman itu semasa di Pilihanraya Bagan Pinang nanti.

"Yang menjadi masalah dan menimbulkan keraguan rakyat adalah mengenai prosedur yang ditetapkan oleh SPR seperti tiada pengawasan yang teliti sewaktu pengundian,tidak membenarkan calon berada di pusat mengundi ketika proses pembungan undi pos berlangsung, pengiraan undi selepas 3 hari dan tiada kemaskini data pengundi Pos," kata Anwar.

Beliau ditemui dalam satu majlis terbuka Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mansor othman di Penanti. Turut hadir ke majlis rumah terbuka, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Haji Abas, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan beberapa lagi pemimpin Pakatan Rakyat.

Khamis lalu, Pemuda Pakatan Rakyat telah menghantar memorandum ke Suruhanjaya Pilihan Raya Malayasia (SPR) membantah penggunaan Borang 2, tempat mengundi dan kaedah berkempen untuk pengundi pos.

Memorandum berkenaan mendesak SPR mengambil tindakan segera bagi memperbaiki beberapa aspek penting yang melibatkan pengundi pos dan juga mekanisme pengundian.

Pakatan Rakyat menegaskan peraturan mewajibkan pengundi pos mengisi Borang 2 merupakan satu pencabulan ke atas prinsip kerahsian undi. Pemuda PR melihat tiada sebarang alasan yang munasabah kenapa Borang 2 ini diperlukan, apatah lagi dengan mewajibkan pengundi pos mendedahkan nombor kertas undi yang diberikan kepadanya.

Peraturan Borang 2 ini juga jelas bertentangan dengan Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang melarang mana-mana pegawai, kerani, jurubahasa atau agen untuk mendapatkan atau mendedahkan maklumat identiti pengundi dan juga nombor kertas undi yang diberikan kepada mana-mana pengundi.

Tuesday, September 22, 2009

Mungkinkah “revolusi senyap” berlaku di Teluk Kemang?

Hujung minggu ini mungkin hari raya puasa (probably). Bukan barangkali (possibly) kalau mengikut taqwim (kalender) sahlah Ahad ini. Apa pun kita tidak tahu sama ada amal ibadah yang kita kerjakan sepanjang Ramadan dengan janji pahala yang berganda-ganda apa yang diburu 10 hari terakhir puasa iaitu Lailatulqadar berjaya. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Muslim dan Muslimat telah melakukan yang dituntut agama dengan harapan sedikit sebanyak ibadah itu diterima Tuhan. Semoga usaha kita diberkati. Saya suka mengucap selamat hari raya Aidilfitri kepada pembaca kolum ini.

Rakyat Malaysia harus bersyukur kerana pada amnya taraf dan kualiti kehidupan kita tinggi walaupun sepatutnya lebih tinggi lagi kalaupun tidak setaraf dengan Singapura, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. Taraf dan status kita mengatasi semua negara dalam kawasan Asia Pasifik selain daripada yang disebut di atas. Pada Julai tahun depan, saya insya-Allah akan berusia 73 tahun. Sekarang rakyat kita pukul rata boleh hidup bagi lelaki pada usia 72 tahun (life expectancy) dan wanita pula 76.5 tahun. Kalau kita cermat memantau kesihatan – dengan izin Allah SWT – mungkin kita boleh hidup hingga 80an hatta 90an tahun pun. Kita harus pentingkan kesihatan dan mutu kehidupan. Seorang kenalan dan semukim berjemaah di masjid yang sama Surau Baitul Aman di Jalan Damai, Kuala Lumpur, Tan Sri Sheikh Hussein Sheikh Mohamed, bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran telah kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat lepas berusia 90 tahun. Kami bersama-sama berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bawah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak timbalannya dalam 1960-an. Saya turut sama menunaikan solat fardhu kifayah jenazah selepas solat Jumaat.

Selepas raya, kita kembali kepada kehidupan biasa harian dan politikus pula menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Port Dickson. Manusia adalah “binatang politik”. Madah Aristotle dalam bukunya “Politics” – “bahawa manusia (lelaki di zamannya) semulajadi haiwan politik – man is by nature a political animal”. Satu ungkapan bukan buruk bahkan satu perasaan kekaguman yakni satu ‘grudging admiration’. UMNO Bahagian Teluk Kemang diketuai oleh veteran Tan Sri Isa Samad, nampaknya sepakat mencalon ketua mereka sebagai calon tunggal walaupun diminta oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO, Bahagian mencalon beberapa nama untuk diteliti. Mujurlah Isa berkata Bahagian akan memberi ibu pejabat UMNO beberapa nama bakal calon untuk diperiksa, teliti dan dinilai. Isa jelas bijak bersiasah kerana dia “binatang politik”.

Agak terlalu awal bagi UMNO dan penyokongnya bercakap Bagan Pinang sebagai padang cipta balas dendam bagi kekalahan di semua pilihan raya kecil 8:0 di Semenanjung. UMNO hanya kalah satu – di Kuala Terengganu. Apa dendam yang mahu dibalas? Bagan Pinang kerusi UMNO, kalau pun UMNO menang ini hanya status-quo. Tetapi kalau Pas menang ia satu kejayaan; merampas kerusi UMNO; satu laba seperti berlaku dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Kalau kita membeli rumah, tiga “rules” terpenting: Lokasi, lokasi, lokasi. Dan kalau memilih sekolah, universiti, hospital dan doktor ataupun peguam, peraturannya begini: Reputasi, reputasi, reputasi. Atau dalam bahasa ibunda yang indah ialah nama baik, dipandang tinggi, bermutu lagi hebat. Dalam politik pula, apa lagi dalam pilihan raya, terbehena dan terutama ialah nama baik calon, reputasi baik dan tidak ada “baggage”. Kalau salah calon di Bagan Pinang, Kuala Terengganu akan berulang. Revolusi senyap akan berlaku di kalangan ahli UMNO, penyokong parti dan pengundi atas pagar. Itulah yang berlaku di Kuala Terengganu.

Duri dalam daging

Isa hampir 26 tahun di mercu politik Negeri Sembilan. Apa untungnya dia menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) biasa? Besar kemungkinan dia akan jadi “duri dalam daging” pada Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Mohamad Hasan, atau Isa sama ada dia berkenan atau tidak jadi “pangkalan” bagi ADUN yang tidak menyenangi Mohamad Hassan. Kalau dia menang – kemenangannya tidak terjamin. Bagaimana jika takdirnya (Isa) kalah? Soal kelayakan memang Isa padan tetapi kelayakan bukan segala-galanya waktu memilih calon, exco atau menteri. Isa amat arif dalam perkara ini. UMNO kononnya mahu pembaharuan, satu “renewal” - dalam bahasa lama perihal bermula semula.

Saya sedar dilema yang dihadapi oleh Isa dan UMNO di Teluk Kemang, tetapi kalau sayalah Isa, saya akan menolak walaupun dicalon dan diterima oleh Ibu Pejabat UMNO. Buktikan dia tidak ‘selfish’, tidak mementingkan diri – menteri besar dan menteri pun sudah. Kalau dia mahu UMNO menang, dia mesti tolong menentukan siapa calon yang boleh bawa kejayaan kepada UMNO. Lainlah kalau Isa masih muda, Isa veteran dari segi perkhidmatan. Lainlah kalau Isa teringin jadi Perdana Menteri atau TPM, dia memang patutlah bermati-matian nak jadi calon untuk bertapak semula dalam politik UMNO. Kalaulah ini matlamat Isa, tidak salah dia bercita-cita sedemikian. Saya kira kalau Ghaffar Baba, Muhyiddin Yassin boleh jadi TPM dan Badawi PM, kenapa pula tidak boleh Ali Rustam hatta Musa Aman atau siapapun yang mengidamkan lubuk dan gua emas itu.

Isa hanya didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana politik wang, tetapi bukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada ahli UMNO, itu tidak menjadi isu tetapi saya rasa Isa akan menjadi isu dengan pengundi muda dan atas pagar. Kalau Isa menjadi calon, Pakatan Rakyat (PR) akan melompat gembira. Kalau pun mereka kalah, mereka akan menang dalam propaganda dan peperangan psikologi. Apatah lagi kalau mereka menang. Andainya Isa calon, di mana kredibiliti UMNO dan Perdana Menteri Najib Razak yang beriya-iya mahukan pembaharuan dalam parti? Apa mesej yang dihantar kepada pengundi muda dan bakal pengundi? Masakan tidak ada anak Linggi, Teluk Kemang dan Bagan Pinang yang muda, berkelayakan, bersih dan maaruf yang boleh diketengahkan? Adakah daerah ini begitu daif dengan anak muda dan mudi? Saya tahu sedikit bahawa Bagan Pinang bukan satu tempat yang begitu melarat kedana dengan bakat UMNO! Masakan tempat yang UMNO telah berpuluh tahun menang di situ begitu melarat, begitu bangsat, begitu bapet dan sengkek dengan muda mudi yang berkebolehan, segar, bersih dan berkaliber. Apa salahnya dengan anak sulung Isa, nama pun sama dengan Perdana Menteri, Najib; muda, seorang pengurus korporat perubatan/farmasi kini naib ketua pemuda UMNO Bahagian? Benar Isa akan dituduh mengamalkan nepotisme tetapi keturunan adalah lumrah bagai semula jadi dalam kebudayaan politik Malaysia, baik dalam parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

Kerusi bertahan pembangkang

Bagan Pinang adalah pilihan raya kecil yang kesembilan termasuk satu di Sarawak di mana BN menang lain semua kalah, tetapi itu semua kerusi bertahan pembangkang kecuali di Kuala Terengganu dan Bagan Pinang hari pengundian yang akan berlangsung pada 11 Oktober ini. Bagan Pinang amat kritikal bagi BN, UMNO dan Najib, terutamanya kerana Bagan Pinang adalah kerusi UMNO begitu lama, ia akan menjadi tamparan hebat kepada BN yang akan membawa reaksi buruk pada politik UMNO dan kepimpinan Najib andainya kerusi itu hilang. Kalau menang pun tanpa majoriti yang berlebihan ketika PRU-12, dakwaan kononnya orang Melayu mulai berpaling atau menyokong balik ke UMNO akan menjadi cerita dongeng. Maka suka tidak suka, sukacita dan duka BN mesti menang dengan undi yang bertambah. Tanpa itu, boleh dibaca satu ‘signal’ yang bakal menanti kejutan. Tidak mustahil ini boleh berlaku, maka janganlah mempunyai keyakinan keterlaluan menggembar-gemburkan cerita lama dan pembangunan. Rakyat mahu idea, visi dan masa depan yang diminati muda-mudi. Dalam pilihan raya lepas, Allahyarham Azman Mohd Noor hanya mendapat majoriti 2,333 melawan calon Pas, Ramli Ismail.

Untuk mengekalkan kerusi ini, Isa – sama ada dia atau Najib calon – mesti dipertanggungjawabkan agar jentera pilihan raya kemas dan berjalan lancar. Tiada pulau memulau dan sabotaj. Saya cadang Isa jadi pengarah pilihan raya Bagan Pinang. Jangan ambil remeh kerana PR akan bermatian untuk menafikan UMNO kerusi lamanya. Kalaupun PR kalah, majoriti BN kecil, itu satu kemenangan besar bagi mereka yang akan membuka jalan strategik dalam PRU-13; kemenangan kedua merebut kerusi UMNO amat mustahak bagi mereka kerana ia akan menjadi penunjuk bahawa rakyat bosan dengan BN. Bagi meyakinkan rakyat dan pelaburan asing (FDI) UMNO mesti menang bagi menunjukkan bahawa orang Melayu sudah mulai jinak semula dengannya (UMNO).

BN boleh dan mesti menang besar di Bagan Pinang kalau calon yang munasabah dan berpotensi dipilih. Isa dipertanggungjawabkan secara langsung di bawah Muhyiddin dan tiada permainan kayu tiga secara senyap. Kalau UMNO dapat mempertahankan Bagan Pinang dengan majoriti yang terhormat, barulah dakwaan sudah wujud pemulihan dalam UMNO benar. Kalau tidak itu satu impian semata-mata. Disebaliknya pula, PR boleh mengharapkan sokongan majoriti bukan Melayu yang pengundinya berjumlah 30 peratus. Dan andainya PR dapat separuh undi Melayu atau 45 peratus daripada 70 peratus jumlah pengundi Melayu PR akan berjaya. Antara 70 peratus pengundi Melayu itu, jumlah antara 3,000 hingga 5,000 adalah pengundi pos yang majoritinya tentera. Apa pun konsesi atau tolak ansur Najib telah buat tidak menarik hati pengundi bukan Melayu hingga mereka dapat betis. Pengundi Melayu kian berasa kecewa dengan tolak ansur Najib. Itulah persepsi saya dapati dalam tinjuan awal saya dengan pengundi-pengundi. Atas kertas dan teori, UMNO boleh menang kecualilah ada “revolusi senyap” seperti yang berlaku di Kuala Terengganu yang tidak disedari atau sengaja tidak mahu mafhum oleh pemimpin UMNO dan media mereka.